Saifuddin umpama ayam jantan kokok berderai

Mustaman Mustain
- Advertisement -

SANDAKAN: Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail diumpamakan ayam jantan yang berkokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Sabah, Mustaman Mustain membidas Saifuddin yang sebelum ini menyerang ucapan Presiden PAS dengan mengatakan parti Islam itu berselingkuh dengan mereka yang terbabit dengan rasuah sedangkan kononnya kerajaan Madani tekad memerangi rasuah dan penyelewengan.

“Jika itu hujah Saifuddin, siapa pula lantik individu yang ada dakwaan 47 kes salah laku dan rasuah menjadi Timbalan Perdana Menteri kalau bukan kerajaan Madani?” soalnya.

Beliau turut mengkritik Saifuddin tidak memahami konteks ucapan Presiden PAS dalam Muktamar Tahunan ke-70 itu apabila mendakwa ucapan tersebut memecahbelahkan, kemuncak politik kebencian, berbaur fitnah, mencerca dan memaki hamun dalam PAS.

“Bagaimana ucapan tersebut ditafsirkan sebagai memecahbelahkan sedangkan ia meraikan kepelbagaian agama dan kaum termasuk etnik Sabah, Sarawak, Melayu Cina dan India.

“Bahkan, muktamar tersebut juga meluluskan perlembagaan PAS yang membenarkan keahlian bersekutu daripada bukan Islam?” tambahnya lagi.

Selain itu, Menteri KDN itu juga dibidas tidak beretika dan celaru kerana menggunakan kepala surat Kementerian Dalam Negeri melampiaskan amarahnya kepada PAS.

Malah ujarnya, sewajarnya Saifuddin bijak meletakkan dirinya sebagai ‘orang politik’ ketika menyerang lawan bukannya menggunakan ruang sebagai Menteri Dalam Negeri untuk mengkritik mereka yang tidak sependapat dengannya.

Mustaman juga menasihatkan semua pihak supaya cermat mengeluarkan kenyataan media dan fokus menyelesaikan masalah rakyat sesuai dengan profesion masing-masing. – HARAKAHDAILY 18/9/2024

- Advertisement -