
KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) akan membincangkan semua perkara berkait memorandum persefahaman (MoU) mengenai peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang sekiranya kerajaan menyediakan satu draf baharu.
Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, selain itu PN juga berhasrat menubuhkan sebuah jawatankuasa bersama bagi membincangkan intipati yang akan dimasukan dalam MoU berkenaan.
Menurutnya, jika kerajaan mahu mengekalkan kandungan MoU yang sedia ada sebagaimana sekarang, PN tidak bersedia untuk berunding berkaitan perkara tersebut.
“MoU yang ada ini, tiada ruang kepada kami untuk memberi sumbangan persetujuan kerana semua syarat yang dikemukakan itu berat sebelah dan kami tidak boleh terima.
“Kecuali datang satu draf lain yang akan dibincangkan bersama dengan kami menerusi satu jawatankuasa yang ditubuhkan agar memperlihatkan draf MoU lebih adil dan tidak berat sebelah,” katanya lagi.
Katanya, apa yang penting perkara yang ingin dimasukkan dalam MoU tersebut perlu dibincangkan terlebih dahulu antara kedua bela pihak, sama ada ia dibolehkan atau tidak.
“Itulah caranya yang sebenar. Sebagai contoh, kalau seorang peguam nak buat satu perjanjian antara dua belah pihak, peguam itu kena panggil kedua-duanya yang terlibat untuk berbincang, baharulah masuk dalam perjanjian,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.
Beliau berkata demikian pada sidang media berkait MoU peruntukan pembangkang di Pejabat PAS Kota Bharu di sini hari ini.
Turut hadir Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusof, Datuk Mumtaz Md Nawi (Tumpat), Ahmad Fadli Shaari (Pasir Mas), Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman (Kuala Krai), Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi (Kuala Langat), Dr Ustaz Abdul Ghani Ahmad (Jerlun), Datuk Awang Hashim (Pendang) dan Dr Ustaz Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurrazi (Kuala Kedah).
Katanya, draf itu sepatutnya dibuat berdasarkan perbincangan di antara PN dan kerajaan, bukannya satu pihak semata-mata sebagaimana yang dilakukan oleh kerajaan hari ini.
Beliau turut berpendapat, isi MoU berkenaan yang mempunyai 11 muka surat itu tidak sepatutnya berlaku.
Tambahnya, ini kerana dari segi amalan undang-undang, mana-mana pihak yang mahu membuat MoU atau perjanjian, kedua-dua pihak perlu berbincang dan menerusi perbincangan itulah terhasilnya MoU.
Sebaliknya, tegas beliau apa yang berlaku adalah sebaliknya, kerana tiada perbincangan langsung dibuat antara kerajaan dan PN. – HARAKAHDAILY 18/9/2024











