Langgan Harakah, dapatkan maklumat terkini PAS

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

TEMERLOH: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari mengajak semua pimpinan, perwakilan, ahli-ahli parti dan penyokong PAS untuk mengimbas kod QR Harakahdaily untuk mendapatkan sumber kenyataan dan maklumat terkini parti.

Katanya, masih ada dalam kalangan ahli PAS yang masih belum memuat turun aplikasi Harakahdaily dan belum mengikuti siaran WhatsApp PAS melalui imbasan kod itu.

“Kadang-kadang bila kita bersuara tentang sesuatu isu ada yang berkata mana suara PAS? PAS tak bercakap pun soal isu halal yang melibatkan Naib Presiden DAP, Teresa Kok Suh Sim.

- Advertisement -

“Ramai ahli-ahli PAS WhatsApp saya di mana suara PAS. Pemuda PAS telah membuat laporan di seluruh negara. Kita amanahkan melalui Pemuda dan Ketua Pemuda dah arahkan kawasan negeri seluruh negara untuk membuat laporan polis tentang isu ini.

“Tiba-tiba Ketua Pemuda Umno bersuara dan ahli PAS tanya saya… mana suara PAS, sebab apa? Anda sendiri tidak mendapat perkembangan maklumat semasa tentang aktiviti PAS,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan PAS ke-70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini, hari ini.

Justeru, beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harakah meminta agar orang ramai terutamanya ahli PAS untuk mengimbas kod QR Harakahdaily agar sentiasa mengikuti perkembangan terkini walaupun kini masih bergantung kepada platform media sosial yang lain.

Beliau berkata, platform media sosial yang lain antaranya ialah Facebook, TikTok dan sebagainya akan berpotensi dikenakan shadow banned.

“Saya nak ingatkan bahawa strategi terakhir kerajaan yang ada pada hari ini khususnya menjelang pilihan raya sedikit masa lagi mereka akan mengenakan shadow banned secara besar-besaran kepada platform media sosial tersebut.

“Aplikasi WhatsApp, insya-Allah masih ada lagi peluang untuk kita sebarkan, jadi sebab itu tolong bersiap-sedia untuk mengimbas kod QR,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pelanggan tidak perlu lagi untuk membuka laman sesawang dan seumpamanya untuk membuka Harakah jika telah memuat turun aplikasi Harakahdaily yang hanya beroperasi di peranti Android kini.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, berkata produk Harakah cetak merupakan bahan penerangan yang telah diperkenalkan iaitu Harakah Cetak Depan Rumah.

Beliau turut mencadangkan kepada mana-mana ahli yang telah membeli Harakah untuk melanggan Harakah Cetak Depan Rumah kepada sesiapa yang inginkan tidak kira apa jua parti.

“Tuan-tuan belikan Harakah kepada sesiapa yang tuan-tuan inginkan, langgan dan terus alamatkan kepada Ketua Umno Cawangan masing-masing supaya mereka lihat ada akhbar Harakah di depan rumah.

“Ini antara produk yang paling mendapat sambutan sehingga ke hari ini. Tuan-tuan langgan untuk mereka satu tahun, dan tidak akan berhenti akhbar itu kepada orang yang tuan inginkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/9/2024

- Advertisement -