Dewan Ulamak perkenal Diploma AKIFI

Dato’ Ahmad Yahaya
- Advertisement -

TEMERLOH: Dewan Ulamak PAS Pusat memperkenalkan produk baharu yang dikenali sebagai Diploma Eksekutif Alim, Haraki dan Sufi (AKIFI), yang ditawarkan melalui Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM).

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ahmad Yahaya berkata, diploma itu bertujuan untuk melahirkan generasi yang memahami agama secara mendalam bagi menyelamatkan manusia daripada kehancuran, kerosakan, dan kerugian.

Menurut beliau, diploma tersebut menawarkan 30 bidang fiqh yang penting, dengan hasrat membentuk generasi yang mempunyai kefahaman agama yang tinggi dan mampu memberi kebaikan kepada masyarakat.

- Advertisement -

“Apabila diumumkan oleh Ustaz Azhar dalam Dewan Ulamak PAS Pusat dipersetujui kertas ini untuk digagaskan menjadi produk baru ulama saya memilih untuk menjadi pelajar yang pertama Diploma AKIFI sebagai satu sokongan padu KUISZM.

“Alhamdulillah selepas kita umumkan itu kita sebut di Muktamar PAS Pusat, di Muktamar Dewan Ulamak dan program lain. Peserta yang kedua mendaftar diri ialah Ir Ts Khairil Nizam Khirudin.

“Tadi saya dihubungi oleh Dato’ Mumtaz nak jadi peserta yang ketiga. Nanti saya semak dengan Ustaz Azhar sudah berapa ramai yang menyertai,” katanya ketika berucap pada sesi penggulungan pada Muktamar Tahunan PAS ke-70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sekali gus menyambut gagasan besar tema muktamar kali ini ‘Islam Adalah Penyelesaian’ diangkat dalam usaha menyelamatkan manusia.

“Dewan Ulamak sangat sedar betapa besar diisyaratkan Tuan Guru Presiden kepada Dewan Ulamak agar berperanan untuk menyatukan ahli agama daripada pelbagai aliran, pengajian dan kefahaman.

“Kami sambut dan diusahakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/9/2024

- Advertisement -