SG4 sebagai pelengkap bantu jayakan agenda nasional

- Advertisement -

TEMERLOH: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, dalam State Government 4 (SG4), apa yang menarik Kedah dan Perlis terletak di Pantai Barat, manakala Kelantan dan Terengganu di Pantai Timur.

“Walaupun kita terikat dengan konsep federalisme dan bidang kuasa negeri yang terhad, kita boleh memanfaatkan kedudukan negeri yang penting dari segi geografi.

“Di sebelah Pantai Timur, menghala ke arah Jepun, China dan lain-lain. Di Pantai Barat, menghala ke arah India dan negara-negara lain,” ujarnya semasa menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS ke-70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, hari ini.

- Advertisement -

Katanya, kewujudan SG4 bukanlah bertujuan untuk bersaing dengan mana-mana negeri atau menjadi ancaman kepada sesiapa dalam negara di peringkat Persekutuan.

Sebaliknya, jelas beliau adalah bersifat pelengkap (complement) yang akan membantu menjayakan agenda nasional.

Oleh itu, Kerajaan Persekutuan perlu menghormati konsep federalisme bagi membangunkan negeri-negeri ini secara adil dan saksama.

Menurutnya, kejayaan terkini daripada SG4, Terengganu berjaya meningkatkan hasil kutipan negeri yang lebih tinggi berbanding dengan pentadbiran sebelum ini.

Beliau berkata, dengan pengamalan pentadbiran yang cekap dan efisyen, lebih banyak GLC dan syarikat di Terengganu berjaya mencapai keuntungan yang berlipat kali ganda dan keluar daripada kerugian sejak bertahun-tahun.

“Kejayaan Kelantan yang mampu bertahan sehingga menjadi model sebuah pentadbiran yang berintegriti, mesra masyarakat majmuk dan menjadi hub modal insan yang Rabbani,” ujar beliau.

Dari segi ekonomi, ujarnya Kelantan mencatat pertumbuhan yang stabil dengan fokus kepada sektor-sektor strategik seperti pertanian, industri kecil dan sederhana (IKS), serta pelancongan berasaskan alam semula jadi dan budaya.

Tambahnya, pembangunan pusat-pusat keusahawanan di Kelantan menyediakan peluang kepada usahawan tempatan untuk berkembang, khususnya dalam sektor halal, makanan, dan kraf tangan.

Di Kedah, katanya beberapa kejayaan besar berjaya dicapai pasca pandemik.

Menurut beliau, antaranya ialah kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) yang meningkat dengan begitu drastik dan telah mencatat rekod tertinggi dalam pelaburan diluluskan.

Selain itu, ujar beliau Kedah turut memberi fokus kepada menyegerakan kelulusan tanah untuk diberikan geran hak milik kepada rakyat yang sudah lama memohon dan telah berjaya mencatatkan pemberian terbanyak bagi tempoh pentadbiran ini.

Tuan Guru menambah, dalam tempoh hampir dua tahun mentadbir Negeri Perlis, sedikit sebanyak berlaku perubahan terutama dalam meninggikan syiar Islam.

“Antaranya Kerajaan Negeri Perlis berjaya menghapuskan sepenuhnya aktiviti penjudian di Perlis dengan menghentikan sambungan kontrak kepada semua premis penjudian ini.

“Insya-Allah fokus Kerajaan negeri Perlis kepada pembinaan modal insan akan terus dilaksanakan seiring dengan pembangunan fizikal dan ekonomi sempadan yang semakin rancak khususnya di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping,” ujarnya lagi.

Kata beliau lagi, difahamkan terdapat lima kluster yang akan diberikan tumpuan, digerakkan melalui 10 agenda yang telah dirangka, iaitu menjalin hubung sistem pengangkutan dan logistik yang efisien.

Contohnya, tambah beliau untuk Kelantan dan Terengganu menjadikan pembangunan berorientasikan transit (TOD) di Stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sektor Kelantan dan Terengganu agar saling berkait.

Di samping itu, ujarnya merangka persediaan aset dan tenaga sukarelawan sebagai mitigasi bencana dengan efektif secara bersama, pengurusan prospek pelaburan yang bernilai tinggi dan mengutamakan industri hiliran, mengikut keutamaan (niche) negeri masing-masing.

Selain itu, katanya perluasan pasaran perniagaan dan perdagangan yang saling melengkapkan dan mampu lebih berdaya saing, pengeluaran komoditi makanan utama yang mencapai tahap sara diri dan berskala industri, membangunkan rantaian nilai agro makanan yang lengkap.

Tambahnya lagi, saling membantu untuk memantapkan ekosistem pendidikan yang komprehensif dan masa depan. ketersediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berjati diri serta saling melengkapkan di antara satu sama lain, pentadbiran yang cekap, berintegriti serta pengurusan kutipan hasil yang besar dan pengeksplorasian dan pengkomersialan sumber asli yang lestari dengan pembangunan industri dan penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Apa yang penting ialah SG4 ini hendaklah mengutamakan program-program yang dekat kepada rakyat dan menyelesaikan masalah rakyat, khususnya permasalahan kemiskinan dan peluang pekerjaan. Ini sangat penting.

“Kerajaan SG4 perlu ada perancangan untuk jangka masa pendek dan jangka masa panjang mengikut keutamaan (awlawiyat) yang perlu diselesaikan segera dan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang. – HARAKAHDAILY 14/9/2024

- Advertisement -