PAS teguh pertahan PN, tidak berhasrat sertai PH

- Advertisement -

TEMERLOH: PAS tetap berpandukan al-Quran dan Sunnah, serta ijtihad melalui pengalamannya dengan memilih pendekatan demokrasi damai dan perpaduan umat bagi menunaikan agenda politik Islam yang berpandukan hidayah, berhikmah, matang dan sejahtera.

Justeru, kata Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, parti itu akan terus beristiqamah mengenali kalangan yang ikhlas menerima Islam adalah penyelesaian dan menolak kalangan yang telunjuknya lurus tetapi kelengkengnya berkait.

“Bahkan, PAS tetap berdiri teguh mempertahankan Perikatan Nasional (PN) dan menghidupkan Muafakat Nasional (MN) yang sebenar, dan tidak sesekali berhasrat untuk menyertai Pakatan Harapan (PH) dalam apa jua bentuk,” tegasnya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS ke-70 di Kompleks Al Makmur, Kerdau, hari ini.

- Advertisement -

Beliau menjelaskan, PAS memilih perpaduan umat Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem, iaitu kalangan yang tidak menghalang bahawa Islam adalah penyelesaian kepada semua masalah dan penyelamat manusia yang berwawasan dunia sehingga akhirat, serta mewajibkan Islam memimpin.

Ini, ujarnya bagi menjamin ‘keindukan’ Islam dan Melayu kekal terpelihara di tanah air tercinta ini.

Sila pungut buah salak,
Dikupas kulit isi ditelan,
Biar anjing terus menyalak,
Langkah kita terus berjalan.

Beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada panitia muktamar yang dikendalikan oleh pasukan Setiausaha Agung dan Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang selaku tuan rumah, termasuklah kejayaan melaksanakan Mesyuarat Agung Tahunan PAS kawasan-kawasan, dewan-dewan dan cawangan-cawangan.

“Marilah kita memperkukuhkan saf perjuangan dengan agenda tarbiah yang dilaksanakan di setiap peringkat, seterusnya kita melebarkan pengaruh parti dan kepimpinan dalam masyarakat dengan agenda dakwah dan politik.

“Semoga segala usaha ini diterima oleh Allah sebagai amal yang soleh,” katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Sebagaimana berpantun semasa memulakan ucapan, Tuan Guru juga mengakhiri ucapan dengan serangkap pantun.

Mari mengukur apa yang lalu,
Jangan menjadi orang yang latah,
Mari kita membujur lalu,
Semua yang melintang wajib dipatah.
– HARAKAHDAILY 14/9/2024

- Advertisement -