
TEMERLOH: PAS merupakan parti yang bersifat demokratik dan terbuka dalam menerima sebarang kritikan.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, parti itu bukan sahaja hanya mengkritik semata-mata tetapi juga mempunyai solusi terhadap pelbagai masalah yang berlaku dalam negara ini.
“Maka, kami yakin bahawa PAS merupakan satu parti yang layak dalam mentadbir negara ini pada satu hari nanti.
“Ini kerana kami mempunyai solusi-solusi terhadap pelbagai masalah yang berlaku dalam negara ini,” katanya ketika sidang media pada Muktamar Tahunan PAS ke-70 yang diadakan di Kompleks Al-Makmur, hari ini. Turut hadir ialah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir Helmi. (Foto atas)
Menurut beliau, segala teguran yang dilontarkan dalam perbahasan pada muktamar kali ini adalah bukan sahaja untuk kerajaan.
Tambah beliau, teguran yang dilontarkan adalah juga terhadap pimpinan-pimpinan PAS itu sendiri.
“Ini kerana kami sendiri menyatakan bahawa PAS memang tak sempurna dalam semua perkara. lebih-lebih lagi yang menguruskan setiap komponen parti PAS itu adalah manusia dan bukannya malaikat.
“Maka, sudah tentu setiap pimpinan PAS memerlukan teguran berbeza dengan sesetengah parti yang mana jika ditegur akan dikenakan tindakan pemecatan.
“Perkara sebegini sudah cukup membuktikan bahawa PAS bersifat terbuka dan layak untuk mentadbir negara ini,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.
Sehubungan itu, Fadhli menyatakan bahawa esok merupakan sesi pembentangan khusus bagi membincangkan enam usul mengenai isu-isu yang berlaku.
Kata beliau lagi, enam usul tersebut tidak dapat dibincangkan pada hari ini tetapi merupakan satu daripada komponen yang penting dalam muktamar tahunan ini.
“Maka, esok merupakan sesuatu yang penting bagi membincangkan enam usul dalam sesi perbincangan khusus dalam muktamar tahun ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/9/2024











