
TEMERLOH: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) akan terus memainkan peranan menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat bukan Islam agar Islam yang adil itu dapat dinikmati bersama, demikian kata Perwakilan DHPP Pusat, Lim Guan Seng.
Menurutnya, Islam merupakan penyelamat kepada semua manusia serta bukan ‘pelampau’ di mana ia disebarkan melalui pendekatan damai.
“Islam membawa sistem politik dan sosial secara aman yang boleh diterima oleh masyarakat majmuk, jika diberi peluang khususnya kepada golongan bukan Islam untuk memahaminya,” kata beliau.
Namun dalam masa yang sama ujarnya, terdapat sebahagian bukan Islam yang masih berfahaman PAS hanya inklusif berteraskan Islam, sungguhpun wujudkan DHPP di dalam parti itu.
Justeru itu menurutnya lagi, DHPP perlu memainkan peranan serta mengambil tanggungjawab mempromasikan PAS kepada bukan Islam termasuk yang tidak berparti agar kefahaman terhadap matlamat parti itu difahami.
Guan Seng berkata demikian ketika membahas serta menyokong Ucapan Dasar Presiden sempena Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-70 di Dewan Al-Makmur, Kerdau, di sini hari ini.
“DHPP juga perlu meluaskan penglibatannya untuk mengaktifkan wanita bukan Islam melalui program-program kebajikan, kesihatan dan lain-lain untuk menarik sokongan kepada PAS.
“Dalam masa yang sama, DHPP juga perlu mengaktifkan peranan wanita dalam politik melalui platform yang sesuai dengan kerjasama Dewan Muslimat PAS serta melibatkan wanita bukan Islam dalam program berbentuk pembangunan komuniti,” tambahnya.
Berikutan itu tegasnya, melalui pendekatan tersebut, DHPP akan menjadi platform yang sesuai untuk mendekati masyarakat bukan Islam, seterusnya mengurangkan kekeliruan kaum berkenaan terhadap perjuangan PAS.
Dalam pada itu, Guan Seng juga mengharapkan agar mempertimbangkan penyertaan dari kalangan pemimpin DHPP pada lantikan politik khususnya di negeri yang di terajui Perikatan Nasional (PN), sebagai motivasi kepada komitmen ahli serta pemimpin dewan berkenaan.
Sementara itu beliau turut menyarankan agar semua wakil rakyat PAS di setiap peringkat perlu menjadi ‘juara’ mendepani isu-isu melibatkan masyarakat bukan Islam kerana dengan tindakan sedemikian akan membawa impak yang besar kepada parti. – HARAKAHDAILY 14/9/2024











