
TEMERLOH: Politik ibarat ‘puzzle’ yang apabila dicantumkan akan terserlah matlamat, tujuan dan hala tuju sesebuah parti, demikian kata Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Sebagai contoh katanya, DAP yang ditubuhkan pada 1963, apabila diikuti serta dicantumkan ‘puzzle’ parti itu, terserlah wajah yang sebenar dan mulai dikenali rakyat akan tujuan penubuhan serta perjuangan parti itu.
“Begitu juga Umno, berjuang untuk kebendaan, selamatkan individu tertentu hingga melanggar prinsip asal parti, menggunakan kuasa untuk raih kekayaan bagi bela penyokong dia saja agar kuasa memerintah kekal,” bidasnya.
Justeru kata beliau, rakyat khususnya Melayu-Islam tidak boleh lagi meletakkan harapan kepada pemimpin Umno yang hanya berjuang untuk mendapatkan kuasa di mana akhirnya matlamat menyelamatkan bangsa dan agama hanyut begitu sahaja.
Sikap itu juga ujarnya, telah ‘menenggelamkan’ Umno dan terbukti pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15, apabila parti itu hanya memperolehi 26 kerusi Parlimen dan tidak mustahil pada PRU16, mungkin hanya tinggal enam kerusi sahaja.
Beliau mendedahkan watak sebenar dan tujuan parti politik tersebut ketika berucap merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Malaysia Ke-64 di Dewan Al-Makmur, Kerdau di sini hari ini.
Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu bagaimanapun berkata, PAS sama sekali berbeza dari sikap politik seperti itu di mana tidak menggunakan kuasa yang diamanah rakyat untuk kepentingan peribadi mahupun untuk parti.
Sejak dahulu tambah beliau, PAS hidup dengan sumbangan ahli dan penyokong sehingga mampu membina kompleks dan membeli bangunan tanpa menggunakan wang kerajaan.
“Contohnya di Pahang. PAS belum pernah menjadi kerajaan di negeri ini. Tetapi PAS Pahang mampu membangunkan kompleks pentadbirannya yang besar dan lengkap. Itu bezanya kita, tidak guna duit kerajaan untuk projek-projek parti,” ujarnya.
Mengulas lanjut tegasnya, rakyat kini memberi perhatian kepada PAS untuk memperjuang nasib mereka, apatah lagi ketika ini parti Islam ini mendominasi kerusi paling banyak.
Di Dewan Rakyat PAS secara tunggal memiliki 43 kerusi, sementara bergabung bersama parti komponen Perikatan Nasional (PN) menjadikan 73 kerusi, selain mentadbir empat negeri.
“Yang tubuh kerajaan (Pusat) sekarang ini tak perolehi kerusi banyak pun. Tetapi bergabung dengan ‘bewak’ (biawak), ‘boya’ (buaya) dan ‘pokka’ (sesumpah). ‘Tidoq’ (tidur) guna selimut dan bantal lain-lain, tetapi bergabung demi kuasa.
“PAN langsung tidak nampak hala tuju perjuangan. Hanya ikut DAP. Umno hanya nak selamatkan presiden, PKR tak terserlah. Tetapi saya nak semua orang tahu, yang dominan dalam Kerajaan Perpaduan ini sekarang adalah DAP.
“Di saat semua wakil parti bercakap, DAP diam tetapi mereka mendapati keuntungan. Secara tidak langsung matlamat penubuhannya dicapai selangkah demi selangkah,” tambah beliau lagi.
Dalam perkembangan lain, ADUN Jeneri itu berbangga dengan pencapaian DMPM yang mampu mengurus dan mengendalikan Muktamar Tahunannya kali ini dengan tenaga serta petugas dari kalangan muslimat keseluruhannya.
Sementara itu, beliau juga menyarankan agar Dewan Muslimat terus mengorak langkah ke hadapan mendepani isu-isu semasa terutama berkaitan wanita.
“Muslimat banyak menyumbang dalam pilihan raya, kerja-kerja kempen dan lain-lain, jumpa pengundi, program ke masyarakatan, ziarah Dan santuni rakyat. Semua usaha ini dilakukan bersungguh-sungguh.
“Usaha-usaha baik ini wajar diteruskan terutama menyantuni golongan sasaran dan menguasai isu-isu wanita seperti keganasan rumahtangga, penderaan dan lain-lain.
“Semuanya itu memerlukan sentuhan muslimat melalui pendekatan berhikmah menyelesaikan isu-isu wanita di luar sana,” tegasnya lagi. – HARAKAHDAILY 13/9/2024











