
JERANTUT: “Orang Pahang tak cakap banyak tapi kerja laju.”
Demikian ucapan Pengarah Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) ke-63, Ustaz Nushi Mahfodz di Kompleks Imam As-Syafie, di sini, hari ini.
Menurut beliau, PAS Pahang sentiasa berusaha yang terbaik dalam usaha memastikan kejayaan Muktamar DUPP.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua jentera yang telah mengusahakan muktamar itu dan semua perwakilan yang sanggup berkorban hadir ke muktamar.
“Kita tak gah membuat muktamar di tempat yang hebat tetapi kesatuan yang ditonjolkan oleh orang kuat PAS Pahang ini membuatkan suasana muktamar terasa lain daripada muktamar sebelum ini, sesuailah tema yang diangkat pada tahun ini iaitu ‘Kesatuan’ atau ‘Wehdah’,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Muktamar Tahunan DUPP itu.
Muktamar itu dirasmikan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin.
Nushi yang juga Setiausaha DUPP mengangap tema tahun ini adalah sebagai pintu penyelesaian bagi tema tahun lepas iaitu ‘Ulama Peneraju Penyelesaian Islam’.
“Apabila ulama bersatu dulu, PAS akan kuat dan Allah akan bantu memudahkan bagi memandu konteks negara Islam di Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/9/2024











