Semangat hadir, jam 5 pagi bertolak ke Muktamar

- Advertisement -

TEMERLOH:  Seawal jam lima pagi, perwakilan Muslimat PAS Perlis telah mula bertolak ke Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Malaysia Kali Ke-64 yang berlangsung di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini.

- Advertisement -

Perjalanan ini disertai oleh muslimat yang datang dari tiga kawasan, iaitu Padang Besar, Kangar dan Arau.

Menurut Nazwa Ahmad, salah seorang perwakilan dari Dewan Muslimat PAS Kawasan Arau, perjalanan ke destinasi penginapan biasanya tidak mengambil masa yang lama, paling jauh hanya sekitar sejam.

Namun, ujarnya, keadaan di Pahang berbeza kerana jarak perjalanan yang lebih jauh menyebabkan mereka yang tidak biasa keadaan setempat bertolak awal dari rumah inap.

“Rasa teruja untuk bertemu sahabat-sahabat seperjuangan dari seluruh Malaysia,” katanya yang juga menambah muktamar kali ini adalah waktu yang tepat untuk ‘mengecas’ semula semangat perjuangan Muslimat.

Sementara itu, perwakilan dari Dewan Muslimat PAS Kawasan Padang Besar, Muzalifah Zulkepli yang pertama kali hadir ke muktamar peringkat pusat turut berkongsi kegembiraannya.

“Saya sangat teruja dan seronok, semangat juang juga tidak terhad kepada yang muda-muda sahaja,” katanya.

Muzalifah menekankan semangat luar biasa yang ditunjukkan oleh golongan lebih tua, walaupun ada keuzuran, mereka tetap hadir menempuh perjalanan jauh.

Muktamar menjadi medan untuk para muslimat memperkukuh silaturahim dan memperbaharui azam dalam perjuangan. – HARAKAHDAILY 13/9/2024

- Advertisement -