Perpaduan sumber kekuatan dalam masyarakat

- Advertisement -

JERANTUT: Perpaduan merupakan elemen penting untuk mengekalkan keharmonian dalam kalangan masyarakat yang pelbagai etnik di Malaysia.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin, berkata perpaduan merupakan satu sumber kekuatan dalam masyarakat seiring dengan tema Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) ke-63 iaitu ‘Kesatuan Asas Kekuatan’.

“Oleh itu, ulama perlu berpadu untuk mengajak orang agar percaya kepada kita. Jika kita nak ajak orang itu menjadi kaya, tetapi kita ini miskin, siapa yang nak ikut (percaya), maka kita kena kaya dulu.

- Advertisement -

“Oleh itu, saya nak ambil kesempatan jika kita hendak bercakap tentang perpaduan, jika antara kaum itu sebagai contoh bangsa Cina bersama Cina bila berkomunikasi di hadapan orang Melayu, maka bercakaplah bahasa Melayu.

“Jadi itulah cara untuk hendak tarik orang Melayu, dan begitulah sebaliknya,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan muktamar tersebut di Kompleks Imam Syafi’ei (KIAS), Kampung Temin, di sini, hari ini. (Foto atas)

Turut serta Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad dan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ahmad Yahaya.

Justeru, beliau menegaskan harapan mereka agar asas kekuatan parti dipertahankan sepanjang perbahasan nanti demi memastikan hala tuju parti kekal utuh.

Sementara itu, Hashim berkata, PAS akan membuat beberapa pindaan perlembagaan termasuk fasal berkaitan penyertaan ahli bukan Islam dalam parti itu.

“Dengan pindaan itu, orang bukan Islam boleh menjadi ahli bersekutu PAS, yang mana sebelum ini parti itu mempunyai Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) khususnya bukan ahli,” katanya.

Menurutnya lagi, beberapa pindaan perlembagaan parti akan dibuat melibatkan Majlis Syura dan Dewan Harian bagi tujuan itu.

“Sedangkan, perlembagaan asal PAS hanya orang Islam sahaja boleh menjadi ahli, dan yang bukan Islam berada dalam DHHP,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/9/2024

- Advertisement -