
TEMERLOH: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa perjuangan untuk menegakkan syariat Islam tidak berakhir dengan memenangi pilihan raya semata-mata.
Beliau hadir dan menyampaikan ucapan khas pada Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Malaysia Ke-64 yang berlangsung di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini sebentar tadi.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, jihad paling besar adalah bercakap benar di hadapan pemerintah yang zalim.
Tuan Guru mengingatkan bahawa peranan muslimat adalah sama penting dengan muslimin dalam perjuangan politik Islam, antaranya satu undi wanita adalah menyamai satu undi lelaki.
“Kita mesti mempertahankan kuasa politik yang ada, terutama di empat negeri yang kini diperintah oleh PAS. Tanggungjawab ini bukan hanya terletak pada muslimin, tetapi juga muslimat,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa kuasa politik yang diperoleh mesti dijaga demi kepentingan Islam.
Menurutnya, walaupun kemenangan PAS dalam pilihan raya baru-baru ini tidak besar, namun bersyukur atas nikmat yang diberikan Allah.
“Walaupun kita tidak kurang kemampuan, Alhamdulillah Allah memberikan kemenangan kepada kita. Kita berjaya menang di empat negeri dan menambah undi di negeri-negeri lain,” ujarnya menyeru mempersiapkan kekuatan dengan segala upaya disanggupi.
Kehadiran beliau itu sebagai memberikan nasihat dan motivasi kepada para muslimat, serta menegaskan bahawa muktamar ini adalah satu peluang untuk muhasabah diri dalam perjuangan menegakkan Islam.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada muslimat yang aktif sebelum dan selepas pilihan raya dan mengingatkan bahawa jihad dan perjuangan politik adalah kewajiban yang perlu dipenuhi oleh setiap ahli PAS.
“Ini bukan peranan kecil di mana pun kita berada, kita akan dinilai oleh Allah Taala,” tambahnya. HARAKAHDAILY 13/9/2024











