
PASIR PUTEH: Pelajar cemerlang peperiksaan STPM yang dilapor menolak tawaran melanjutkan pengajian ke Universiti Sains Malaysia (USM) sebelum ini sudah menerima sumbangan disampaikan ADUN Semerak, Norsyam Sulaiman.
Norsyam berkata, sumbangan kali pertama diberikan kepada pelajar terbabit Wan Nuralyaa Awang pada 20 Ogos lepas ketika beliau berkunjung ke rumahnya.
Katanya sumbangan itu diberi ketika lawatannya ke rumah pelajar-pelajar cemerlang di DUN Semerak termasuk di Mukim Tok Bali, Air Tawar, Telaga Papan dan Gong Kala pada 20 Ogos lepas.
“Ambo buat lawatan ke rumah pelajar cemerlang STPM dan SPM untuk mengucapkan tahniah kepada pelajar dan ibu bapa mereka.
“Dan semalam diadakan majlis penyampaian sagu hati kepada pelajar yang berjaya melanjut pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Wan Nuralyaa turut menerima sumbangan one-off tersebut,” katanya di sini.
Baru-baru ini, media melaporkan pelajar cemerlang STPM menolak tawaran melanjut pengajian ke USM kerana bapanya tidak mampu menyediakan yuran pendaftaran sebanyak RM1,020.
Sementara anggota Exco Kerajaan Negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, setiap tahun kerajaan mengadakan majlis penyampaian saguhati sebanyak RM500 seorang kepada pelajar cemerlang peperiksaan SPM, STAM dan STPM.
Selain itu katanya setiap ADUN di Kelantan turut menyampaikan sagu hati kepada pelajar yang mendapat tawaran belajar di institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara. – HARAKAHDAILY 13/9/2024











