Muslimat PAS: Pemberdayaan dalam era tamkin

- Advertisement -

DOA mereka sakral! Kelompok ini membina generasi; jika mereka tidak kompeten, maka lahirlah generasi yang lemah dan lumpuh wibawa. Perjuangan Islam semenjak di zaman ar Rasul SAW menyaksikan peranan muslimah yang berdada dengan musuh Islam serta turut mengobar panji perjuangan. Khadijah binti Kuwailid, Ummu Salamah, Ummu Nusaibah, Asma binti Abu Bakar, Aisyah isteri Rasulullah dan Khaulah, di antara nama-nama yang mencuat dalam perjuangan menegakkan Islam. Muslimah adalah kelompok yang sangat penting dalam dakwah dan perjuangan kerana mereka mempunyai kekuatan nurani untuk membina generasi, kekuatan iltizam dan mereka merupakan kelompok yang senang untuk berubah serta menjadi pemangkin nukleus kesedaran.

- Advertisement -

Menurut Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam taujihat khas sempena Muktamar Dewan Muslimat Pusat, peranan muslimah semenjak di zaman awal dakwah di Mekah telah memperlihatkan tendensi dan kesungguhan, teguh mempertahankan Islam. Bahkan dalam perjuangan PAS, peranan muslimah sangat mengesankan. Saat kempen pilihanraya, kaum muslimin ramai memasak bubur kacang di markas manakala kaum muslimah berziarah dan merayu undi serata kampung. Presiden menukas lelucon disambut deraian tawa perwakilan dan pemerhati. Kuasa merayu muslimah sangat penting, malah ada anggota legislatif PAS kerana sikap bengkeng tidak digemari rakyat namun kerana isterinya suka berziarah maka tetap diundi dalam pilihan raya.

Dalam sejarah PAS, menginsafi peri pentingnya keperluan untuk memperkasa elemen muslimah dalam perjuangan Islam, maka lahirlah entiti Dewan Muslimah PAS yang akan menjadi tarikan pesona kaum hawa menyertai harakatul ummah ini. Dilancarkan sebagai Dewan, dalam fasa yang sangat dramatik tanahair kita, iaitu zaman pertembungan khilafiah kaum muda – kaum tua, era pelaksanaan Ordinan Darurat 1948,  ianya bermula sebagai satu lujnah dalam organisasi PAS sebelum diangkat menjadi Dewan. Kaum wanita sebelum adanya Dewan Muslimah, juga berhimpun dalam Kaum Ibu Umno, dan juga AWAS (Angkatan Wanita Sedar) yang diharamkan pada bulan Jun 1948 oleh British. Euforia ketakutan akibat zaman darurat serta tahanan tanpa bicara tidak memungkinkan aktiviti politik merancak, terutama kaum hawa.

Pada tanggal 3 April 1952, Jawatan kuasa PAS Pusat meluluskan penubuhan Dewan Muslimah PAS Pusat sekaligus melantik Sharifah Rahmah AlMashoor sebagai Ketua Dewan Muslimah. Namun, beliau terpaksa bersama suaminya dalam Umno pada tahun 1954 apabila suaminya memilih untuk bersama Umno. Jasa beliau yang paling besar ialah usul dalam Muktamar PAS yang pertama pada 3 Januari  tahun 1953 agar diangkat sayap Dewan Muslimat menjadi setara dengan kaum Ibu Umno agar dapat lebih bebas berpartipasi dalam medan siasah, dakwah dan tarbiah.

Aktiviti Dewan Muslimat agak sendu dalam tempoh 1953 sehingga 1957, sehinggalah perlantikan Ustazah Zabidah Ali sebagai Ketua baru Dewan Muslimat PAS Pusat. Era ‘the blue eyes mentality’ dekad 50-an dan 60-an bukanlah dasawarsa cemerlang gerakan Muslimat PAS. Ironi dengan apa yang berlaku di Mesir terhadap Zainab AlGhazali alJubaili yang mendobrak kezaliman tirani bernuansa Sosialis Arabisme. Fenomena ini berubah dengan berlakunya kebangkitan semula Islam dalam dekad 70-an dan 80-an. Generasi peserta-peserta kebangkitan semula Islam inilah yang akhirnya mewarnai kebangkitan Dewan Muslimat PAS. Program kaderisasi dakwah melalui usrah, tamrin, ijtimak dan liqa fikri.

Dokongan dan sokongan kepada harakatul ummah semakin melonjak terutama generasi berpendidikan, juga usaha untuk merengkuh kebersamaan anak-anak ahli dalam jamaah PAS.

Kampus universiti menjadi ladang semaian terbaik kepada aktivis muslimah dalam dekad 70-an dan 80-an, kelompok kelas menengah Melayu muslimah mula mengisi hirarki kepimpinan Muslimat PAS. Kecaknaan politik parallel dengan tahap intelektual ahli-ahli Dewan Muslimat PAS, sehinggalah keseluruhan barisan pimpinan PAS dibarisi oleh rahim tajnid PAS serta kelompok berpendidikan tinggi.

Fenomena sokongan kepada parti bukan BN melonjak semenjak 2023 apabila PAS menguasai empat buah negeri jantung hati orang Melayu. PRU 15 menyaksikan penguasaan PAS dalam pentas politik negara, dengan jumlah anggota legislatif paling ramai dalam Parlimen dan DUN termasuk calon- calon muslimah.

Antara kekuatan utama Dewan Muslimat juga adalah kerana kewujudan Ameerah, sayap anak muda  untuk merapatkan jurang generasi dalam muslimah, semakin ramai kelompok muda kelas menengah Melayu di zaman millenia. Kerancakan program kaderisasi dakwah di kampus sekaligus melonjakkan tenaga pakar muslimah muda yang wajib dimanfaatkan oleh PAS. Dewan Millinea Kepala Batas menjadi saksi 13 tahun lalu  pelancaran Ameerah. Satu dambaan akan energi dan usaha pemberdayaan kelompok anak muda yang tidak terikat dengan budaya kerja Muslimat akibat pecutan persaingan teknologi. Ketua Dewan Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh dalam ucapan temanya menyeruput muslimah muda tampil mengisi ruang dan terlibat juga dalam proses membuat keputusan.

Ameerah  membuka keahliannya untuk generasi yang berumur 21 tahun hingga ke 40 tahun; aktivitinya pelbagai dengan usaha utamanya untuk merengkuh sokongan anak muda. Antara program yang sering ditempelkan dalam gerakerja Ameerah sepanjang sedekad keberadaannya dalam harakatul ummah ini ialah seperti bedah buku, tutorial memakai tudung, seminar smart learning, bulatan gembira (usrah), jaulah tarbawi, acara sukan Ameerah, ziarah, mewujudkan iKon Ameerah negeri dan kawasan yang terdiri daripada kalangan anak muda Muslimat yàng piawai. Ameerah menjadi penyeri dan tarikan pesona untuk memancing generasi muda menyokong PAS dalam PRU dan PRN.

PAS wajar merasa bangga dengan kemaraan ketumbukan muslimat dalam era tamkin ini, juga Ameerah yang sentiasa melengkapi gerak kerja Dewan Muslimat. Cabaran Dewan Muslimat PAS semakin membesar kerana generasi anak muda semakin mual dengan politik, intriq dan polemik. Dunia anak muda seperti kembar Siam dengan dunia hiburan bersalut hedonism. PRU 16 cabaran semakin rencam dan bervariasi, menanggani tendensi dan minat kaum hawa millineal serta generasi android juga satu tantangan. Teruskan melebar sokongan dan dokongan massa, menarik pengundi wanita yang seimbang dengan pengundi lelaki untuk bersama dalam perjuangan Islam, insyaallah, fajar kemenangan semakin hampir, maka Muslimat bersama teguh pertahankan Islam.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 13/9/2024

- Advertisement -