
TEMERLOH: Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) kali ke-64 yang bersidang di Dewan Al-Makmur, Kerdau, sebulat suara menerima usul keselamatan berkenaan keganasan serta jenayah yang melibatkan kaum wanita.
Usul tersebut dibentangkan oleh Pengerusi Pembangunan Insan dan kerukunan Keluarga (LPIKK) DMPM, Ustazah Asmak Husin dan disokong oleh perwakilan Dewan Muslimat PAS Kawasan Pengerang dan Bachok.
Selain kes jenayah seperti cabul, rogol, ragut, keganasan rumah tangga, sumbang mahram, pembunuhan, penderaan dan pemerdagangan manusia, laporan juga menunjukkan wanita mewakili 60 peratus mangsa gangguan dan jenayah siber.
Antaranya, mangsa buli atau doxing, sasaran penipuan digital dan love scam yang mengakibatkan tekanan emosi serta kerugian mencecah ratusan ribu ringgit, malah lebih menyedihkan kebanyakan jenayah dilakukan oleh orang yang dikenali atau dipercayai wanita tersebut.
Justeru, DMPM mendesak supaya kerajaan menyegerakan pindaan undang-undang bagi meningkatkan perlindungan terhadap wanita seperti Kanun Keseksaan, Kanun Tatacara Jenayah, Akta Keganasan Rumahtangga termasuk akta-akta berkaitan keselamatan tempat kerja.
Selain itu kerajaan juga didesak agar melaksanakan penguatkuasaan dan penapisan lebih ketat terhadap penyedia platform televisyen termasuk digital berbayar, selain kandungan di media sosial yang dilihat semakin bebas menayangkan babak mengandungi unsur pornografi dan keganasan.
Malah, ia dapat serta diakses secara mudah dan percuma oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak melalui alat telekomunikasi masing-masing.
Kerajaan juga didesak melaksanakan perintah berkurung di tempat yang dirasakan perlu bagi mengurangkan aktiviti malam di luar kecuali untuk keperluan.
Perlaksanaan perintah berkurung di kawasan atau masa tertentu bagi menjaga keselamatan wanita khususnya seperti di Eropah yang menutup restoren dan pasaraya seawal jam 6:00 petang.
Dalam pada itu DMPM juga menggesa kerajaan SG4 menjadikan keselamatan wanita sebagai agenda penting dalam pembentukan dasar dan pembangunan negeri bermula dari peringkat DUN, Parlimen dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) .
Wanita yang mewakili hampir separuh penduduk merupakan aset penting bagi sesebuah negeri selaras dengan dasar Islam mengangkat martabat kaum berkenaan sebagai ibu, wajib dihormati dan dilindungi.
Seterusnya kaum lelaki juga perlu diperkasakan khusus sebagai wali dalam keluarga serta tonggak penting dalam masyarakat bangun menjadi lelaki qawwam, bertanggungjawab serta berkepimpinan sedari kecil.
Dasar Lelaki Qawwamah yang dilaksanakan di Kelantan perlu dipanjangkan kesemua negeri SG4 dan dibangunkan segera melalui pelan pembangunan lelaki qawwam.
Ia agar menjadi aset penting bukan sahaja dari aspek keselamatan wanita bahkan untuk pembangunan negeri berdasarkan syariat Islam pada masa depan.
Satu jawatankuasa bersama perlu ditubuhkan untuk melaksanakan dasar-dasar sosial berdasarkan pembangunan Islam untuk mengekang isu dan jenayah sosial di negeri SG4.
Dasar-dasar sosial Islam yang telah dilaksanakan di Kelantan boleh dijadikan rujukan dan mengambil langkah serius dengan segera untuk meningkatkan jaminan sosial wanita dan masyarakat yang bernaung di bawah dasar dan pemerintahan Islam.
Justeru, perlu penggemblengan modal, kepakaran, jaringan perundangan dan bidangkuasa, keseriusan pelaksanaan undang-undang Islam di pelbagai peringkat berdasarkan bidangkuasa negeri SG4 dan lain-lain
Ia perlu dijadikan keutamaan agar SG4 menjadi model negeri yang aman dan makmur serta mendapat keampunan Allah SWT. – HARAKAHDAILY 13/9/2024











