Sidang As-Sabiqun empat negeri jadi rakan strategik

Dato’ Dr Mahfodz Mohamed (Foto NOR HAZWANI NOH)
- Advertisement -

KUANTAN: Dato’ Dr Mahfodz Mohamed berkata Sidang As-Sabiqun di dalam muafakat empat negeri (SG4) diterajui PN/PAS adalah kaya dengan pengalaman bagaimana mereka membina parti sehingga berjaya.

Menurut Pengerusi Sidang As-Sabiqun PAS Pusat itu, ini terutama di Kelantan yang buat kali pertama menang tahun 1959 dan berakhir pada 1978, dan kali kedua menang 1990 hingga sekarang telah memasuki 34 tahun.

Apa yang pasti, ujarnya pengalaman PAS Kelantan berjaya bangkit semula pada tahun 1990 selepas tersungkur tahun 1978.

- Advertisement -

Tambahnya, ramai tokoh PAS Kelantan yang masih ada sekarang ini rata-rata adalah golongan warga emas dan boleh bercerita pengalaman bagaimana mereka bekerja dan berjihad membina kemenangan.

“Demikian pula sahabat kita di Kedàh, Terengganu dan Perlis turut mempunyai pengalaman  membina kemenangan jemaah. Maka kita yakin mereka ada cerita yang menarik di sebalik sejarah kemenangan tersebut.

“Justeru rakan As-Sabiqun kita di sana boleh menjadi rakan strategik yang sarat dengan resepi perjuangan untuk menang bergaya,” ujarnya ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Sidang As-Sabiqun PAS Pusat 4.0 dengan tema ‘Melestari As-Sabiqun Memantap Jemaah’ di Dewan D’Persada Baroqah di sini, hari ini.

Semestinya, kata beliau Sidang As-Sabiqun dari empat buah negeri itu boleh menjadi rakan strategik bagi mengatur gerakan parti di peringkat akar umbi, terutama di dalam usaha memperkasakan pentadbiran kerajaan dan parti untuk mempertahan kemenangan.

“Saya percaya ahli As-Sabiqun sudah mantap ilmu untuk menjayakan konsep parti menguasai kerajaan,” ujarnya.

Tambah beliau, misalnya di Kelantan, dimaklumkan perancangan pembangunan negeri berteraskan pentadbiran Membangun Bersama Islam semenjak 1990 sehingga berlaku tambah baik tahun 2013 dengan strategi Merakyat Membangun Bersama Islam dan kini mulai 2023 diperkenalkan strategi Penghayatan Membangun Bersama Islam.

Hal ini, ujarnya boleh dijadikan model bagi negeri-negeri lain bagi melaksanakan ‘agenda pembangunan’ untuk dinikmati majoriti rakyat yang mengundi PAS/PN.

Menurutnya, satu pengalaman penting lagi bagi sahabat As-Sabiqun dari SG4 ialah pengalaman melebar luas pengaruh PAS melalui strategi penambahan keahlian dan penubuhan cawangan baharu.

Semestinya, kata beliau ia bermula dengan usaha memberi kefahaman kepada masyarakat tentang perjuangan PAS sehingga masyarakat boleh menerima dan menjadi ahli lalu berjaya menambah cawangan bagi melebarkan lagi misi dakwah dan tarbiah bagi melahirkan insan yang berakhlak.

“Kesemuanya ini ada peranan bagi Sidang As-Sabiqun dari SG4 untuk berkongsi pengalaman, terutamanya dengan Sidang As-Sabiqun di negeri yang ada harapan menang seperti Selangor, Perak dan Pahang,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 12/9/2024

- Advertisement -