
BERMULA semalam (11 September 2024) Kompleks Al Makmur, yang terletak di Kerdau, Temerloh, Pahang menjadi tumpuan ahli-ahli PAS seluruh negara.
Muktamar Tahunan PAS yang biasanya diadakan di negeri-negeri yang diperintah oleh PAS, kali ini diadakan di Negeri Pahang yang belum diperintah.
Ia bagaikan satu isyarat bahawa PAS sedang melangkah gagah menuju ke Wisma Darul Makmur.
Kompleks Al-Makmur menjadi mercu tanda yang membuktikan keupayaan, keikhlasan dan pengorbanan ahli PAS Pahang.
Kompleks bernilai jutaan ringgit ini dibina dengan keringat dan sumbangan wang dari saku ahli-ahli PAS yang berstatus pembangkang di negeri ini.
Antara orang yang berperanan besar dalam pembinaan kompleks ini, ialah mantan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Pahang, saudara Roslan Zainal Al-Ahmadi.
Menurut beliau pembinaan Kompleks Al-Makmur adalah usaha dari cetusan idea Pesuruhjaya PAS Pahang ketika itu, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man pada tahun 2005.
Ia kemudian dimasukkan ke dalam Pelan Tindakan Strategik (PTS) PAS Pahang 2005-2007 bagi menghadapi PRU ke-12.
Mesyuarat BPPNP pada 25 Mac 2006 meluluskan kertas konsep pembinaan kompleks disusuli pembelian tapak pertama seluas dua ekar di simpang empat Kerdau pada April 2006.
Kemudian dibeli pula tapak kedua seluas tiga ekar yang terletak bersebelahan tapak pertama pada 26 Ogos 2006.
Ia menandakan komitmen PAS Pahang yang serius sebagai ‘government in waiting’.

Dato’ Tuan Ibrahim bertindak sebagai ‘arkitek’ utama. Dibantu kuat oleh Almarhum Haji Ahmad Mohd Yaman (Pak Ngah Samad) dan Almarhum Haji Abdullah Ahmad Nasruddin serta ahli-ahli BPPNP yang lain.
Menurut Roslan pembersihan tanah bermula pada Januari 2007 dan selesai sepenuhnya pada 10 Mac 2007. Kerja-kerja penambakan tapak tersebut bermula pada Oktober 2008.
Selama tempoh berkenaan, usaha mengumpul dana giat dilakukan oleh semua peringkat parti bermula daripada Negeri, Kawasan, sehinggalah ke Cawangan-cawangan di seluruh Pahang.
Akhirnya kerja-kerja pembinaan Fasa 1 Kompleks Al-Makmur bermula pada awal tahun 2010 dan siap sebahagian besarnya pada tahun 2019.
Fasa pertama pembinaan diketuai oleh Musanif Ab Rahman, Bendahari PAS Pahang selaku Pengurus Projek.
Beliau dibantu oleh Haji Jusoh Darus, Hassanuddin Salim dan ramai lagi. Ketiga-tiga tokoh ini adalah ahli teknokrat terkenal di negeri ini di samping menjadi pimpinan PAS Negeri.
Walaupun pembinaannya masih di peringkat awal dan belum siap sepenuhnya, namun Kompleks Al-Makmur ketika itu telah digunakan untuk pelbagai program parti.
Kata orang, begitulah orang PAS. Asal ada tempat berhimpun pasti akan dimanfaatkan untuk pelbagai aktiviti.
Fasa-fasa berikutnya menyaksikan pembinaan yang lebih rancak. Sumbangan ahli PAS juga dilihat lebih agresif.
PAS Pahang turut membuka peluang kepada ahli untuk menyumbang dengan konsep qardhul hasan.
Akhirnya, kompleks yang tersergam indah ini bersedia digunakan untuk acara-acara bersempena Muktamar PAS ke-70.
Selamat bermuktamar.
USTAZ ARIS HAZLAN ISMAIL
Maran, Pahang – HARAKAHDAILY 12/9/2024












