Rizwadi Ismail dilantik Penyelia DUN Nenggiri

Mohd Rizwadi Ismail
- Advertisement -

KOTA BHARU: Bagi memudahkan urusan rakyat kerajaan negeri melantik bekas calon Perikatan Nasional (PN) DUN Nenggiri Mohd Rizwadi Ismail sebagai Penyelia DUN kawasan terbabit.

Pelantikan itu dibuat susulan nama Rizwadi dikemukakan Pengerusi Bersatu Kelantan Dato’ Kamarudin Md Nor untuk dipertimbangkan kerajaan negeri.

Anggota Exco Kerajaan Negeri Wan Roslan Wan Hamat berkata, PN Kelantan bersetuju melantik bekas calon PRK Nenggiri sebagai Penyelia DUN Nenggiri.

- Advertisement -

Katanya, pelantikan itu dibuat bagi memudahkan urusan rakyat di DUN terbabit terutamanya berkaitan penyelesaian pemilikan tanah rakyat dan program-program di bawah kerajaan negeri.

“Lagipun sebelum PRK lagi Rizwadi banyak membantu rakyat termasuk penduduk setinggan yang terbabit dengan projek jalan baharu di Bertam Lama,” katanya di sini.

Pada PRK 17 Ogos lepas Rizwadi gagal mempertahankan DUN terbabit selepas dimenangi Mohd Azizi Abu Naim pada Pilihan Raya Negeri 12 Ogos 2023.

Umno kembali menguasai DUN itu melalui Mohd Azmawi Fitri Abdul Ghani.

Dengan kemenangan itu Umno menguasai dua DUN di Parlimen Gua Musang termasuk Galas. – HARAKAHDAILY 12/9/2024

- Advertisement -