KDN FC pilih Stadium Sultan Ibrahim aksi tentang JDT

Rozi Muhamad
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) mengemukakan permohonan rasmi kepada Malaysian Football League (MFL) untuk menggunakan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) sebagai tempat bagi perlawanan Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 22 September ini.

Presiden KDN FC, Rozi Muhamad berkata, pihaknya mendapat persetujuan bersama dengan JDT berhubung perubahan tempat susulan Stadium Sultan Muhammad IV masih dalam proses dinaik taraf.

Kata beliau pihaknya mengambil pertimbangan setiap aspek dengan merujuk jadual perlawanan yang dikeluarkan MFL untuk memilih SSI sebagai gelanggang tuan rumah KDN FC.

- Advertisement -

“Stadium Sultan Muhammad IV terpaksa ditutup buat sementara waktu bagi proses naik taraf, jadi kami memohon agar venue perlawanan Liga Super dengan JDT diubah ke SSI.

“Bagi pihak KDN FC, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana memberi kebenaran dan hak kepada kami untuk menjadi tuan rumah di SSI,” katanya di sini.

Bagaimanapun, kata Rozi pihaknya masih menunggu kebenaran daripada MFL berkenaan perubahan venue tersebut.

Tambah beliau pemilihan venue SSI dibuat memandangkan perlawanan seterusnya KDN FC menentang Negeri Sembilan FC di Paroi pada 27 September ini.

“Oleh kerana lokasi kedua-dua venue berada berdekatan maka KDN FC bersetuju mengalihkan perlawanan ke SSI kerana dapat menjimatkan kos pengurusan.

“Kami sedar bahawa permohonan tersebut di luar kebiasaan, namun kami berharap MFL dapat mempertimbangkannya dengan mengambil kira masalah penutupan venue KDN FC,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/9/2024

- Advertisement -