
KUANTAN: Pimpinan As-Sabiqun ada yang berpengalaman sebagai ahli teknokrat, profesional dan ilmuwan, malah ada yang bertaraf ulama, kata Pengerusi Sidang As-Sabiqun PAS Pusat, Dato’ Dr Mahfodz Mohamed.
Menurut beliau, sekiranya mereka dapat membuat penampilan bersama rakyat dengan imej berstatus al-malak sekali gus ia memberi gambaran baik kepada PAS sebagai parti yang cukup berpengalaman dalam hal ehwal pentadbiran kerajaan.
“Bagi negeri yang belum berkerajaan, isunya kita mahu Sidang As-Sabiqun perlu berperanan menjayakan misi berkerajaan, government in waiting, maka pihak pimpinan perlu dilihat hebat dari segi penampilan, iaitu menampilkan gaya kepimpinan karismatik,” katanya ketika semasa menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Sidang As-Sabiqun 2024 dengan tema ‘Melestari As-Sabiqun Memantap Jemaah’ di Dewan D’Persada Baroqah di sini, hari ini.
Di dalam aspek itu, ujarnya ada dalam kalangan anggota Sidang As-Sabiqun yang berpengalaman sebagai wakil rakyat, ketua jabatan, ahli korporat dan pemimpin masyarakat.
Katanya, melalui pendekatan rakan strategik, mereka boleh memberi pandangan dan bimbingan atau berkongsi ilmu kepimpinan dengan bakal-bakal calon pilihan raya dan dengan kepimpinan anak muda agar mereka cukup berketrampilan dengan imej teknokrat atau pelapis kepimpinan untuk mengambil alih kerajaan.
“Hasil yang kita mahu ialah peranan individu berpengalaman tersebut boleh membimbing sejumlah kepimpinan yang ada untuk membawa agenda PAS bersama Perikatan Nasional ke arah menjayakan agenda ‘kerajaan menunggu’ (government in-waiting) di peringkat negeri dan Persekutuan,” katanya.
Tambahnya, hal ini dikira penting diambil perhatian oleh Sidang As-Sabiqun, terutama bagi negeri yang Perikatan Nasional (PN) boleh menang berkuasa pada PRU16 nanti seperti Perak, Selangor dan Pahang.
“Kita percaya dengan membina kerjasama melalui rakan strategik banyak program boleh diatur dengan mengambil kira strategi PN untuk mengharmonikan hubungan antara kaum.
“Misalnya ramai jasawan PAS boleh dilibatkan dalam aktiviti keharmonian kaum dengan mengadakan dialog dan diskusi atas tajuk mendekatkan hubungan sesama kita ke arah membina masyarakat yang bersatu padu semua kaum,” katanya.
Tambah beliau, mungkin Sidang As-Sabiqun boleh berkolaboratif dan bergerak seiring dengan Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) dan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) bagi menjayakan dialog atau diskusi perpaduan kaum. – HARAKAHDAILY 12/9/2024











