URA: Pastikan hak, kepentingan kaum Bumiputera dilindungi

Akta Pembaharuan Semula Bandar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat, Datuk Ahmad Amzad Hashim menggesa kerajaan memberi perhatian kepada beberapa perkara berkaitan penggubalan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA).

Menurut beliau, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang bertanggungjawab dalam proses penggubalannya mesti memastikan  berpandangan akta tersebut diharmonikan dengan undang-undang lain.

“Seperti (antaranya) Kanun Tanah Negara dan Akta Pengambilan Tanah untuk mengelakkan percanggahan dan memastikan pentadbiran tanah lebih profesional,” ujar beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

- Advertisement -

Malah beliau berpandangan, satu kajian perlu dijalankan untuk mengharmonikan Kanun Tanah dengan prinsip-prinsip Islam, agar tidak berlaku sebarang percanggahan dan bagi mencari penyelesaian Islamik untuk isu pemilikan, pengurusan dan pembangunan tanah.

Tegasnya, URA harus memastikan pembangunan semula bandar tidak mengurangkan komposisi kaum Bumiputera di bandar di mana ia mesti berdasarkan peratus komposisi umum rakyat Malaysia dengan peruntukan kuota pemilikan dilaksanakan menurut peratusan tersebut.

Beliau yang berpengalaman dalam beberapa sektor strategik turut mencadangkan agar pembangunan semula wajar diterajui oleh agensi kerajaan atau GLC dan dalam sebarang usaha sama, kerajaan mesti memiliki pegangan majoriti dan melarang sama sekali pegangan asing.

Amzad turut mengingatkan pihak kerajaan khususnya KPKT untuk memastikan bahawa penggubalan URA menjamin penduduk sedia ada tidak akan diketepikan atau dipindahkan ke tempat lain, sebaliknya akan digantikan dengan hartanah di tapak yang dibangunkan.

“Hartanah yang digantikan hendaklah sepadan dengan hartanah yang dipasarkan di pembangunan baharu. Penduduk sedia ada juga perlu dilayan sebagai rakan kongsi dalam sebarang pembangunan semula.

“Mereka hanya boleh dipindahkan keluar dalam tempoh pembinaan pembangunan baharu dan dipindahkan semula ke tapak asal apabila siap dibina. Kos perumahan, pemindahan, dan kos sampingan hendaklah ditanggung sepenuhnya oleh pemaju.

“Pembangunan baharu mestilah untuk kepentingan rakyat Malaysia dan mestilah berimej tempatan, selain tidak mengutamakan pembeli atau pelabur asing,” ujar beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Pihak beliau turut mengingatkan supaya pembangunan baharu perlu mampu dimiliki oleh semua lapisan masyarakat di mana kerajaan mesti memastikan terdapat satu skim pembiayaan untuk membantu rakyat memiliki hartanah di pembangunan baharu.

Tegas Amzad lagi, pembangunan baharu perlu mematuhi peraturan dan piawaian perancangan yang sedia ada, termasuk penyediaan kemudahan dan infrastruktur serta mengambil kira impak sosial, trafik, dan alam sekitar.

Menyentuh mengenai pembangunan semula melibatkan Tanah Rizab Melayu, beliau menegaskan ia mesti bersesuaian dengan kemampuan pemilikan orang Melayu dan perlu mengekalkan status tanah tersebut di mana sebarang penjualan atau pemilikan perlu selaras dengan status tersebut.

“Pembangunan baharu perlu realistik dengan kemampuan membeli rakyat agar tidak berlaku hartanah yang tidak terjual. Ini untuk mengelakkan kerugian kepada pemaju atau rakyat asing mengambil kesempatan dengan membelinya.

“Kuota-kuota Bumiputera yang tidak terjual hendaklah diserahkan kepada entiti kerajaan yang sedia ada atau entiti baharu diwujudkan untuk dipegang sehingga dapat dijual. Sehingga itu, ia akan disewakan kepada Bumiputera.

“Masa depan tanah-tanah wakaf turut perlu diberi perhatian khusus apabila terlibat dengan pembangunan agar tidak tersasar dari tujuan asal tanah wakaf tersebut.

“Selain Sekretariat Tanah Rizab Melayu perlu diwujudkan untuk menyelesaikan sebarang masalah yang melibatkan tanah-tanah tersebut dan memastikan kewujudannya,” kemuka beliau.

PAS tegas Amzad, berharap agar kerajaan memberi perhatian serius perkara agar ia dapat memenuhi keperluan semua pihak, terutama dalam melindungi hak dan kepentingan kaum Bumiputera di bandar. – HARAKAHDAILY 11/9/2024

- Advertisement -