
ABDUL Wahab Abdul Rahman yang lebih dikenali sebagai Cikgu Wahab dilahirkan di Kampung Pulau Pisang, Kubang Pasu dan membesar Pekan Tunjang, Jitra. Kini menetap di Kampung Megat Dewa, Jerlun, Kedah
Menurut Cikgu Wahab, semasa di darjah enam, beliau mengikuti gurunya iaitu arwah Cikgu Daud Husein seorang aktivis PSRM dan sering berbual mengenai politik. Namun, dalam banyak-banyak parti yang ada ketika itu, beliau lebih tertarik kepada PAS.
Beliau yang memegang nombor keahlian PAS 82836, sejak remaja lagi sudah berada di pentas ceramah PAS menyampaikan buah pandangannya di mana pertama kali beliau berbuat demikian adalah di Kampung Naka, Padang Terap.
Ketika dahulu itu ceritanya, dari poster makluman hingga peralatan ceramah seperti alat siar raya dan sebagainya, termasuk perbelanjaan perlu ditanggung sendiri. Malah katanya, sering kali juga kehadiran di tempat-tempat ceramah itu adalah lebih ramai polis berbanding pendengar awam.
Maklumat disampaikan di dalam ceramahnya berkisar isu semasa yang diperolehinya dari pembacaan di akhbar-akhbar dan kemudian diolah beliau dalam mengangkat perjuangan berteraskan kepentingan Melayu-Islam.
Cikgu Wahab turut memberitahu, cabaran ketika itu apabila siri-siri ceramah PAS hinggakan ada yang berlaku tembakan senjata, selain dibaling batu oleh pihak-pihak tidak diketahui. Walaupun ada kecederaan terkena peluru dan batu hingga berdarah tetapi tidak menyebabkan kematian.
Sebagai guru dan amilin PAS
Selepas menamatkan kursus perguruan di Maktab Perguruan Tanjong Malim, Perak beliau pun berkhidmat sebagai seorang guru bermula di Sekolah Kebangsaan Lana Bulu, Padang Terap.
Pada tahun 1979, beliau ditukarkan bertugas ke Sekolah Kebangsaan Pamah Kulat, Raub, Pahang dan menetap di rumah guru di situ berseorangan diri selama enam bulan. Ketika beliau ke sana ceritanya, terlalu sunyi di mana lebih banyak menemui lori balak berbanding kereta di jalan-jalan raya.
Menariknya di sekolah beliau berkhidmat itu, dua guru besar yang beliau berkhidmat ketika itu kedua-dua mereka adalah Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Raub. Bagaimanapun hubungan beliau dengan mereka cukup baik, hormat dan rapat.
Katanya, tidak pernah timbul isu penglibatannya dengan PAS, kerana komitmen tugas dilaksanakan Cikgu Wahab dengan penuh tanggungjawab.
Namun tidak lama selepas itu, beliau berpindah menginap di rumah seorang pimpinan PAS iaitu Tengku Puji Abdul Hamid selama lebih lima tahun mendiami di Dong. Tengku Puji bukan sahaja menjadi rakannya, tetapi beliau juga merupakan Ketua Pemuda PAS Raub.
Dalam satu Mesyuarat Agung Tahunan PAS Raub yang dihadiri Cikgu Wahab buat pertama kali ketika itu, beliau dikejutkan dengan para perwakilan memberi kepercayaan memilihnya sebagai Timbalan Yang Dipertua.
Manakala dalam Mesyuarat Agung Pemuda PAS Raub tahun 1979 itu, beliau telah dipilih sebagai Setiausaha yang ketika itu dirasmikan oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Dewan Rushdi, Kampung Keledek.
Rutin hujung minggu
Semasa bertugas di Raub itu, beliau pada setiap hujung minggu iaitu selepas petang Jumaat akan keluar bersama Tengku Puji yang merupakan Ketua Pemuda PAS Negeri Pahang menjelajah ke seluruh Pahang untuk menghidupkan PAS Cawangan dan Kawasan.
Tetapi menjelang pagi Isnin hari bertugas di sekolah, beliau sudah siap sedia menunaikan tanggungjawab selaku guru mengajar.
“Ringkasan semua saya buat siap dah. Ini satu petua. Kita jadi pegawai kerajaan prestasi kerja mesti mesti jaga. Tak boleh kalau kita buat malas,” nasihatnya menegur perbuatan yang boleh menjejaskan nama jemaah mesti dihindari.
Akuinya, pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sering menghantar pegawai untuk mencari-cari salahnya menerusi lawatan mereka adakan, tetapi tidak pernah menemui sebab untuk mempersalahkannya.
Ke atas anak-anak muridnya, ketika Cikgu Wahab mengajar apapun mata pelajaran, dia menerapkan juga kepada mereka kaitan ilmu itu dengan kebesaran Allah SWT. Sedangkan katanya, tiada perkataan Allah mahupun Tuhan di dalam buku teks dia boleh menyebabkan murid menjadi Atheis.
Menurut Cikgu Wahab, selama enam tahun di Pahang, kebanyakan tempat yang dijelajahnya bersama Tengku Puji adalah kawasan-kawasan Tanah Rancangan Persekutuan atau FELDA, kecuali FELDA Jengka 1.
FELDA Jengka 1 itu hanya berjaya dimasukinya di penghujung perkhidmatannya di Pahang. Cerita Cikgu Wahab, sentimen digunakan beliau untuk menarik penyertaan kepada PAS adalah memperkenalkan diri sebagai ‘orang Kedah’.
Jelasnya, menerusi usaha-usaha seperti itulah menumbuhkan Cawangan-cawangan baharu PAS. Walaupun tidak menafikan banyak permulaan menerima penolakan dari penduduk setempat, namun pertemuan dari masa ke semasa akhirnya berjaya menarik mereka kepada PAS.
Terbit makalah ‘Al-Falah’
Ceritanya, dengan gaji diterima perlu dihantar untuk perbelanjaan kepada keluarga di Kedah, beliau sendiri tidak mempunyai wang yang cukup untuk menampung keperluan kerja perjuangan.
Maka, bagi membolehkan beliau dan Tengku Puji terus bergerak menaiki keretanya pada setiap minggu, maka beliau menghasilkan makalah penerangan dinamakan sebagai ‘Al-Falah’ dan dijual ke setiap tempat yang beliau pergi.
Jualan itulah katanya, membiayai kos pergerakannya, namun makalah kecil tersebut pernah menyebabkan pemimpin Umno terutama Menteri Besar Pahang ketika itu, Dato’ Mohd Najib Razak merasa tergugat dan marah atas isu disiarkan.
“Untuk belanja belanja. Orang lain mudahlah dapat bagi sampul (duit saguhati). Dulu kena buat sendiri semua. Kena duit sendiri,” ujar beliau mengimbau kenangan penuh bermakna itu makalah dijual dengan harga RM1 itu.
Malah katanya, kereta beliau Mazda808 bernombor pendaftaran KH9654 yang digunakan itu bukan melalui jalan-jalan tar, tetapi kebanyakan tempat dijelajahinya bersama Tengku Puji adalah jalan tanah merah. Bahkan pernah kereta itu ceritanya, tersangkut dalam lopak di masa musim hujan.
Antara pengalaman lain adalah pernah beliau bersama Ustaz Abdul Halim Arshad datang daripada Kedah berceramah di Pekan, Pahang, ketika pulang diberikan wang saguhati hanya untuk ‘minum air’ sebanyak RM5 sahaja.
Antara pengalaman tidak dapat dilupakannya, adalah menyaksikan markas-markas PAS di Pahang yang ketika itu memiliki 48 markas di seluruh negeri itu, berada dalam keadaan dhaif di mana katanya tak ubah seperti reban ayam.
Namun kini beliau berbangga sudah banyak markas-markas PAS di Pahang yang hidup dan diberi nama seperti Darul Hana, Darul Amin dan pelbagai nama seumpama serta ia hidup dengan pelbagai aktiviti.
Ditukar lagi ke Pahang, calon Kota Siputeh
Tahun 1985, Cikgu Wahab dapat bertukar kembali pulang bertugas ke Kedah iaitu menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Padang Terap dan diarah mengajar di Sekolah Nami, Padang Terap di mana dalam perjalanan ke sekolah pernah menemui gajah.
Beliau bagaimanapun menghadapi arahan pertukaran kali kedua ke Pahang di mana pada tahun 1999 itu ke Daerah Rompin di Sekolah Kebangsaan Pianggu. Tetapi tidak lama iaitu sekitar 50 hari, sebelum beliau pulang ke Kedah kerana diminta menjadi calon pilihan raya PAS di DUN Kota Siputeh.
Cikgu Wahab menerima pencalonan itu yang mana sebelumnya telah beberapa kali beliau tolak kepada Ustaz Fadzil Noor kerana tidak mendapat keizinan ibunya. Juga kerana faktor ketidakmampuan kewangan yang dihadapinya.
Disediakan oleh:
IZWAN ABDUL HALIM
[email protected] – HARAKAHDAILY 11/9/2024











