
KAJANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Ramal, Mohd Shafie Ngah mengucapkan tahniah kepada semua pemenang dan peserta dalam Kejohanan Kabaddi Piala ADN Sungai Ramal, baru-baru ini.
Kejohanan itu yang dianjurkan oleh beliau di Dewan Komuniti Taman Kajang Utama, di sini, turut mendapat sambutan yang baik dan positif oleh orang ramai.
Mohd Shafie berkata, terdapat peserta yang masih bersekolah rendah tetapi tetap berani untuk bertarung fizikal dengan peserta dewasa, malah yang berstatus senior turut masih tangkas dan lincah ketika menyertai kejohanan itu.
“Semangat kesukanan dan semangat juang yang anda semua pamerkan menjadi aspirasi buat semua yang hadir menonton,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Sementara itu, beliau berkata sukan itu dapat menyatukan rakyat kerana sukan merupakan agen perpaduan selain dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan pada masa sama menerapkan disiplin dan integriti dalam kalangan peserta.
“Ini permainan orang India kan? Kita Melayu atau Cina ini boleh datang ke? Sukan ini menyatukan sesama manusia tanpa batasan bangsa dan usia. Semua orang boleh main, boleh tonton.
“Peserta kita pun daripada pelbagai bangsa yang berkongsi jiwa Malaysia, malah kita buka pada kategori lelaki dan juga perempuan.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan program itu iaitu Kelab Kabaddi Semenyih, Meatech Creative Academy, Hospital Islam Az-Zahrah Bandar Baru Bangi dan semua urusetia.
Justeru, beliau turut berharap agar kejohanan itu akan diadakan lagi pada masa yang akan datang.
Oleh demikian, seorang pengguna Facebook, R Balamurugan turut berasa teruja dan menyokong jika kejohanan itu akan diadakan lagi pada tahun hadapan.
“Terbaik Yang Berhormat ADUN Sungai Ramal kerana menganjurkan pertandingan kabaddi di kalangan pelajar dan belia setempat bagi mencungkil bakat mereka dalam sukan ini.
“Semoga kita dapat bekerjasama dalam Program Kabaddi 2.0,” katanya menerusi ruangan komen di sebuah posting video.
Untuk rekod, sukan kabaddi dikaitkan dengan sukan tradisional India dan dipercayai merupakan salah satu sukan tertua di dunia iaitu berusia 4,000 tahun.
Secara umumnya, kabaddi adalah sukan yang menggunakan kepantasan, fizikal dan keagresifan yang dimainkan oleh dua pasukan dengan tujuh orang setiap pasukan di dalam satu gelanggang khas. – HARAKAHDAILY 11/9/2024











