
KOTA BHARU: Kerajaan negeri sentiasa bekerjasama erat kerajaan Persekutuan bagi menyelesaikan masalah dihadapi pesawah di Kelantan.
Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, kerajaan negeri sentiasa berbincang dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk pertingkatkan sektor itu.
Katanya, usaha itu diterjemah melalui usaha sama agensi kerajaan Persekutuan termasuk KADA, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan IADA Kemasin Semerak.
“Kita dengan kerjasama erat KPKM mengadakan perbincangan demi perbincangan bagi memastikan kebajikan petani terjaga dan menyelesaikan masalah mereka.
“Isu berkaitan bekalan air pengairan diutamakan apa tah lagi bagi memastikan keterjaminan makanan dalam negara sentiasa dipandang serius semua pihak,” katanya selepas lawatan ke Rumah Pam Kemubu di sini hari ini.
Pada lawatan itu beliau mengikuti taklimat disampaikan Pengurus Besar KADA, Mohd Faizul Mustafa.
Turut hadir Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail dan Timbalan Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, Saizol Ismail.
Bagaimanapun Pengerusi KADA yang juga pemimpin Parti Amanah Kelantan Muhammad Husin tidak kelihatan.
Mohd Nassuruddin juga berkata, lawatan tersebut dilakukan selepas mendapat rungutan pesawah berkaitan masalah pengairan sawah akibat kemarau yang melanda beberapa bulan lalu.
Kata beliau terdapat tiga isu yang menjejaskan sistem pengairan sawah sehingga memberi kesan terhadap pengeluaran padi dan beras.
“Kita telah kenal pasti tiga masalah untuk diatasi iaitu musim kemarau, aras Sungai Kelantan rendah dan operasi pam KADA bagi membekalkan air ke sawah,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/9/2024











