
PASIR GUDANG: Polis menerima laporan berkaitan kemalangan jalan raya di Kilometer 3 Lebuhraya Pasir Gudang Perling (arah Pasir Gudang) yang melibatkan sebuah lori tangki pada jam 4 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Polis (ACP) Balveer Singh Mahindar Singh, berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah lori tangki jenis Volvo dipandu oleh lelaki tempatan berumur 51 tahun dipercayai telah hilang kawalan.
“Oleh demikian, pemandu terbabas dan melanggar tiang lampu di sebelah kanan jalan tersebut,” katanya menerusi kenyataan kenyataan, hari ini.
Balveer Singh berkata, kemalangan disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan.
“Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Sarjan Rusilah Abu di talian 012-7313740. Justeru, pihak polis menyeru orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya demi keselamatan bersama.
“Patuhi had laju, gunakan isyarat dan ikuti arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan kemalangan dan menjaga keselamatan di jalan raya,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/9/2024











