Pemuda Perlis kecam Teresa tak sensitif isu halal

- Advertisement -

PADANG BESAR: Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis, Haziq Asyraf Dun menyuarakan bantahan terhadap kenyataan Ahli Parlimen DAP, Teresa Kok Su Sim yang menyinggung isu pensijilan Halal.

- Advertisement -

Menurut Haziq, isu halal adalah sangat sensitif dan eksklusif kepada umat Islam dan seharusnya tidak dicampuri oleh orang bukan-Islam seperti yang dicelupari Teresa Kok.

“Institusi halal ini melibatkan sensitiviti umat Islam, jadi sepatutnya Teresa Kok tidak perlu masuk campur dalam isu ini.

Terutama bila ia melibatkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang baru sahaja memberikan cadangan. Ini adalah urusan umat Islam,” ujar Haziq.

Beliau turut mengingatkan Teresa Kok agar lebih berhati-hati dalam memberi pandangan berkaitan isu-isu sensitif yang melibatkan agama, khususnya isu halal berkait dengan konsep 3R (kaum, agama dan raja).

Tambah beliau yang juga ADUN Beseri, kenyataan Teresa Kok berpotensi mencetuskan kontroversi dan memburukkan suasana keharmonian antara kaum dan agama.

“Pemuda PAS tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis berhubung kenyataan ini,” kata Haziq lagi.

Isu itu timbul selepas Teresa Kok mengeluarkan kenyataan bahawa pensijilan Halal seharusnya bersifat sukarela, bagi membolehkan pengusaha restoran dan syarikat makanan membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran.

Teresa turut mendakwa bahawa mewajibkan sijil Halal akan menambah beban kepada perniagaan kecil serta menambah kos pentadbiran.

Cadangan untuk mewajibkan sijil halal ini pada asalnya diusulkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar yang menyatakan bahawa JAKIM sedang mengkaji perkara tersebut bagi melindungi kepentingan pengguna Muslim.

Kenyataan Teresa Kok mengundang kecaman daripada pelbagai pihak, termasuk pemimpin parti politik kerajaan dan juga pembangkang, serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Dewan Perniagaan Melayu Malaysia. – HARAKAHDAILY 9/9/2024

- Advertisement -