Halal JAKIM: Harum nama Malaysia, bukan memalukan

- Advertisement -

AYER KEROH: Persijilan Halal yang dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengharumkan nama negara di seluruh dunia.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin berkata, ia bertentangan dengan kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim.

“Sijil Halal JAKIM sudah mendapat pengiktirafan dunia. Sebagai contoh kalau kita ke Jepun, standard certification halal yang digunakan oleh Muslim Friendly Hotel dan restoran di Jepun adalah sijil halal yang dikeluarkan JAKIM.

“Tidak timbul isu memalukan negara. Bahkan kita sepatutnya berbangga kerana standard halal negara Malaysia diguna pakai di peringkat dunia,” katanya.

Jelas beliau, kenyataan Teresa bahawa perkara itu memalukan negara, sebenarnya memalukan DAP dan bukan bersifat peribadi.

“Itu adalah doktrin DAP kepada konsep Malaysian Malaysia. Apa lagi apabila kenyataannya dipertahankan oleh Setiausaha Agung DAP, Antony Loke dan ianya telah menerima kritikan hebat di media sosial,” katanya.

Jelas Bakri, beliau mengakui bahawa kos memperolehi sijil Halal JAKIM agak tinggi dan apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan adalah mencari mekanisma terbaik bagi memudahkan proses tersebut.

Tambahnya, JAKIM perlu menjalankan penambahbaikan sijil halal dikeluarkan tanpa membebankan peniaga atau pengusaha serta sesuai dengan saiz perniagaan mereka dan tanpa mengorbankan standard halal.

“Saya masih ingat apabila Gabenor Nusa Tengara Barat (NTB) di Indonesia, Muhamad Zaino Majdi atau (lebih dikenali) Tuan Guru Bajang apabila beliau meminta pengusaha-pengusaha hotel dan rumah makan agar mendapatkan sijil halal

“Maka kerajaan mengambil inisiatif membantu pengusaha dan peniaga-peniaga sehingga Lombok dianugerahkan destinasi pelancongan halal terbaik bersama kota Padang Sumatera Barat,” ujarnya dalam satu hantaran di akaun Facebook rasmi beliau semalam.

Kata Bakri lagi, dari segi kedudukan Malaysia dalam skop destinasi halal, negara ini berada antara yang terbaik di peringkat dunia.

“Pada.tahun 2020 Malaysia memperolehi mata 208.9 dalam Halal Food Indicator menjadikan Malaysia sebagai pemimpin kepada Industri Makanan Halal Dunia. Apakah kita tidak bangga atau sebaliknya berasa malu pula?” soalnya.

Teresa dalam satu kenyataan yang dilapor media-media massa berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan, beban kepada perniagaan kecil dan boleh memalukan negara.

Teresa berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar sebelum itu yang menyatakan bahawa JAKIM mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal. – HARAKAHDAILY 9/9/2024

- Advertisement -