
KANGAR: Majlis Perbandaran Kangar (MPK) sedang giat berusaha menyediakan tempat solat sementara untuk kemudahan orang ramai sempena pelaksanaan program ‘Berhenti Dulu Kita Solat’ yang akan bermula pada 15 September ini di seluruh Perlis.
Program tersebut merupakan sebahagian daripada kempen ‘Hayya Ala-Solah’ yang bertujuan memastikan pelaksanaan ibadah solat dalam kalangan peniaga dan pengunjung pasar malam, khususnya untuk waktu Maghrib.
Yang Dipertua MPK, Affendi Rajini Kanth berkata, semua peniaga di bawah kendalian pihak berkuasa tempatan (PBT) atau swasta diwajibkan memberhentikan operasi perniagaan.
Jelas beliau, perkara tersebut akan dilakukan 10 minit sebelum dan 10 minit selepas waktu Maghrib sebagai tanda penghormatan kepada waktu solat.
MPK turut menyediakan senarai masjid dan surau berdekatan untuk memudahkan peniaga dan pengunjung menunaikan solat.
Antara pasar malam yang terlibat adalah Pasar Malam Kangar iaitu surau di Bangunan Stesen Bas Ekspres dan Stesen Teksi Kangar, manakala Pasar Malam Arau melibatkan surau di Tingkat Atas Bangunan Pasar Besar Arau.
Bagi Pasar Malam Kuala Perlis pula adalah Masjid Al-Rahmaniah, sementara Pasar Malam Simpang Empat di surau di Bangunan Kompleks Bazar Simpang Empat, manakala Pasar Malam Jejawi di surau Kawasan Lapang Taman Utara.
“Bagi pasar malam yang tiada kemudahan surau atau masjid berhampiran, MPK berusaha untuk menyediakan tempat solat sementara sebagai langkah memudahkan orang ramai.
“Program ini diharapkan mampu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan solat dan mewujudkan budaya menghormati waktu ibadah di lokasi tumpuan ramai seperti pasar malam,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini. – HARAKAHDAILY 9/9/2024











