
KOTA BHARU: Kerajaan negeri akan menganjurkan kursus bagi memberi pendedahan kepada ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak istimewa atau kelainan upaya.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim berkata, pendedahan mengenai cara menjaga anak syurga itu amat penting.
Katanya, ibu bapa dan keluarga perlu mempunyai persiapan mental supaya mereka sentiasa bersyukur dan reda dikurniakan anak istimewa.
“Dengan adanya perkongsian ilmu ibu bapa akan dapat mendidik anak berkenaan dengan penuh kasih sayang,” katanya ketika ditemui selepas melawat Pusat Pendidikan Khas Bizara, di sini semalam.
Pada lawatan itu Rohani turut menghulurkan sumbangan kepada pusat tersebut.
Sehingga kini seramai 61 kanak-kanak berada di bawah jagaan pusat berkenaan yang mempunyai pelbagai kondisi antaranya, sindrom down, autisme, hiperaktif, masalah pembelajaran, lembam dan lewat perkembangan.
Rohani berkata, penjagaan anak istimewa ada kaedah tertentu yang akan dikongsi mereka yang pakar dan berpengalaman dalam bidang berkenaan.
Namun kata beliau paling utama ibu bapa perlu mencari ilmu bagaimana untuk mengurus dan mendidik anak-anak terbabit.
Sementara itu, Pengasas Bizara, Wan Zakaria Wan Abu Bakar, 42 berkata, anak-anak istimewa memerlukan layanan seperti anak normal kerana mereka perlu dididik dengan penuh kasih sayang. – HARAKAHDAILY 9/9/2024











