
SUNGAI PETANI: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dinobatkan sebagai Tokoh Inspirasi Rakyat sempena Festival Insan Sejahtera yang diadakan di Masjid Tunku Salehuddin, Bandar Puteri Jaya, di sini semalam.
Anugerah itu dinobatkan kepada beliau berikutan perkhidmatan serta keperibadiannya yang disegani kawan dan digeruni lawan, selain banyak melibatkan diri dengan pelbagai projek pembangunan sosial sama ada di Kedah mahupun luar Kedah.
Beliau juga merupakan ahli politik pertama di Malaysia dianugerahkan pangkat Laksamana Pertama, Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) pada 2021.
Dalam pada itu Sanusi memaklumkan beliau tidak menyangka turut menerima anugerah pada program tersebut.
“Saya tidak tahu langsung akan menerima anugerah, yang saya tau (tahu) Arwah emak saya akan terima anugerah. Itu sebab ayah dan kakak saya hadir,” katanya.
Sementara itu, Dewan Masjid Tunku Salehuddin sunyi seketika apabila
biodata ibu Menteri Besar, Allahyarhamah Meriam Ahmad dibaca.
Allahyarhamah Meriam dinobatkan sebagai penerima Tokoh Wanita Gigih, berikutan pengorbanannya membesarkan 13 anak dalam serba kekurangan, sehingga kesemuanya menjadi insan yang cemerlang.

Allahyarhamah diwakili suaminya, Md Nor Taib yang menerima anugerah berkenaan.
Selain itu tiga penerima lain iaitu ADUN Gurun, Baddrol Baktiar dinobatkan sebagai Tokoh Anak Muda, manakala Tuan Guru Aminuddin Abd Rahim sebagai Tokoh Ilmuan.
Sementara Pengerusi Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Dato’ Wira Isahak Murat sebagai Tokoh Profesional.
Hadiah tokoh-tokoh berkenaan disampaikan oleh Menteri Besar, sementara anugerah Tokoh Inspirasi Rakyat disampaikan oleh
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskinan, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali.
Festival Insan Sejahtera yang dirasmikan oleh Menteri Besar, turut melancar buku ’40 ayat Pembangunan Insan Sejahtera’ yang dikeluarkan oleh Seketariat Pembangunan Insan Kerajaan Negeri Kedah. – HARAKAHDAILY 9/9/2024











