Kelantan kekal negeri bebas rasuah

Wan Roslan Wan Hamat
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan kekal sebagai negeri bebas rasuah dan penyelewengan biar pun pelbagai tuduhan cuba dipalit terhadap pemimpin kerajaan negeri.

Terbaharu bekas seorang pegawai kanan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bebas daripada pertuduhan berkaitan kes pembinaan telaga jejari.

Minggu lepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) difahamkan memulangkan wang jaminan sebanyak RM10,000 yang dikenakan terhadap tertuduh.

- Advertisement -

Anggota Exco Kerajaan Negeri Wan Roslan Wan Hamat berkata, apa yang berlaku itu menjelaskan keadaan sebenar biar pun pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap bekas pegawai kanan terbabit.

“Ini secara tidak langsung mengekalkan status Kelantan bebas rasuah melibatkan pemimpin kerajaan atau pegawai kanan.

“Sejak awal lagi bekas Menteri Besar Tuan Guru Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat meletakkan asas pentadbiran mengikut acuan Islam.

“Ia bertujuan untuk mengelakkan pegawai atau pemimpin kerajaan negeri daripada terjebak dengan gejala yang tidak diingini,” katanya di sini hari ini.

Pada 16 Mei lepas media melaporkan empat individu termasuk dua bekas pegawai kanan AKSB direman untuk siasatan kes pembinaan telaga jejari di Kelantan.

Mereka berusia 40 hingga 60-an dibebaskan dengan jaminan RM10,000 seorang.

Menurut SPRM pihaknya menjalankan siasatan terhadap 28 telaga jejari yang dibina menerusi Projek Pembinaan Telaga Jejari (HCW).

Ia membabitkan 10 projek pembinaan serta membaik pulih loji rawatan air (LRA) dianggarkan berjumlah lebih RM300 juta dibina AKSB, namun didakwa gagal berfungsi.

Wan Roslan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri melahirkan rasa syukur kerana kes telaga jejari yang dimomok sebelum ini akhirnya terjawab. – HARAKAHDAILY 9/9/2024

- Advertisement -