BPMS sejak 15 tahun, bukti kemenangan PAS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) sejak 15 tahun adalah bukti kemenangan terbesar PAS setelah cemerlang mentadbir 4 buah negeri.

Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad berkata PAS berjaya menang 43 kerusi parlimen dan memainkan peranan besar dalam politik tanah air.

Menurutnya, hampir mustahil jika dilihat pemimpin dari dua parti berbeza akan duduk bersama sehingga segala pandangan dan tindakan parti lawan disanggah habis-habisan.

- Advertisement -

“Kalau dulu, terdapat percanggahan dua parti sehingga di sesetengah kampung, ada yang membuat pengasingan surau mengikut parti. Contohnya, ini surau UMNO dan ini surau PAS.

“Berbeza hari ini apabila kita dapat melihat negeri-negeri yang ditadbir oleh parti berbeza sudah boleh menjalin kerjasama,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang memuat naik gambar Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berfoto bersama di Perlawanan Persahabatan Boling Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) menunjukkan kejayaan BPMS PAS. (Foto atas)

Dalam pada itu juga, beliau berkata, dengan BPMS ini dapat membuat penyelarasan kerja-kerja dalam pentadbiran antara negeri dengan mewujudkan dasar serta polisi yang perlu dilakukan.

“Sebagaimana State Government (SG4), negeri-negeri lain turut ada kekuatan dan kelebihan yang wajar untuk kita manfaatkan demi rakyat dan negara,” katanya.

Tambahnya lagi, negeri-negeri di bawah pemerintahan PAS sendiri telah membuktikan BPMS ini tidak membeza-bezakan warna parti dalam pentadbiran negeri.

Selain itu, pembahagian peruntukan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sama rata diberikan untuk ADUN kerajaan dan ADUN pembangkang melalui rakyat yang mengundi juga tidak membeza-bezakannya.

“Masing-masing fokus membangunkan negeri, melaksanakan janji dan menjaga rakyat. Jika ada hal yang baik daripada PH atau UMNO, kita sokong dan bantu. Jika salah, kita lawan,” ujarnya.

Jelasnya sebagai seorang rakyat, beliau seronok melihat perubahan ini dan seolah-olah masih ada harapan buat politik Malaysia apabila pemimpinnya tidak lagi hanya bermain politik keterlaluan.

“Semoga lebih ramai pemimpin politik di Malaysia dapat mencontohi budaya BPMS yang diamalkan PAS,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/9/2024

- Advertisement -