
ALOR SETAR: Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (GENERASI) berpandangan bahawa Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1960 atau Akta 530 perlu dikekalkan, tetapi beberapa pindaan kepada penambahbaikan mesti dilakukan.
Presiden GENERASI, Ustaz Roslan Md Esa berkata, kali terakhir GSA dipinda adalah pada tahun 2002 iaitu sudah lebih 20 tahun, di mana tentu banyak perkara telah berlaku kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).
“FELDA sangat berkait rapat dengan pihak-pihak berkepentingan, terutama peneroka dan generasi kedua mereka. Jadi GSA ni diwujudkan untuk mengawal tanah-tanah, ladang ini. Tidak boleh dijual, dipajak ditukar milik sewenang-wenangnya.
“Semangat Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein untuk memberi tanah kepada Bumiputera yang tidak ada tanah khususnya orang-orang Melayu, hasrat itu telahpun tercapai. Tetapi kita bimbang kalau tanah ini terus diberi kebebasan untuk dipecah milik.
“Nanti akan tergadai akhirnya, kerana di sana ada pihak-pihak yang sedang mengambil kesempatan untuk menghapuskan Akta 530 GSA,” ujarnya berharap beberapa pindaan kritikal dilakukan ke atas akta itu.
Beliau ditemui selepas menyertai Sesi Libat Urus Bersama Pemegang Taruh dan Pihak Berkepentingan Bagi Tujuan Semakan dan Pindaan GSA anjuran Bahagian Kawal Selia FELDA Jabatan Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Alor Setar, di sini kelmarin.
Menurut Roslan, masalah yang berlaku telah menimbulkan krisis kepercayaan kepada FELDA di mana hampir 20,000 daripada 112,000 peneroka telah memilih untuk tidak menyerahkan ladang mereka kepada pengurusan FELDA.
Katanya, para peneroka terbabit tidak percaya dengan tadbir urus ataupun selia urus oleh pengurusan FELDA khususnya berkait dengan ladang-ladang mereka kerana isu yang tidak berkesudahan termasuk berkaitan pewarisan.
Beliau mengemukakan antara isu tersebut adalah melibatkan anak syarikat FELDA yang gagal mengurus ladang-ladang secara sepatutnya, selain dakwaan penyelewengan, sedangkan ladang diurus sendiri peneroka lebih berjaya.
Beritahunya, ramai peneroka bukan setakat kecewa dengan keadaan tersebut, tetapi lebih malang terpaksa mengambil duit sara hidup yang merupakan hutang di mana akhirnya menjadi beban serta menghadapi pelbagai masalah lain.
Sedangkan sebelum itu ujarnya, para peneroka terbabit juga ramai yang telah selesaikan pembayaran-pembayaran ditetapkan dalam tempoh 30 tahun, tetapi di usia emas dan ketika kudrat diri sudah bersisa, tiba-tiba menanggung hutang kembali.
“Apa yang saya nak sebut di sini ialah bagaimana kita nak mengembalikan semula kepercayaan peneroka-peneroka dan generasi-generasi peneroka FELDA ini. Generasi pertama, kedua, ketiga dan juga pihak yang kepentingan kepada FELDA.
“Caranya ialah antaranya kita kena pinda GSA ini supaya dilihat ‘win-win situation’. Ertinya apa? Jangan hanya kita mewujudkan undang-undang tubuh atau undang-undang kecil yang melihat kepada salah laku, tindakan bakal dikenakan kepada peneroka.
“(Iaitu) sekiranya mereka langgar peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. Tetapi kita kena perlihatkan juga bahawa sekiranya pihak FELDA sendiri langgar atau gagal dalam melaksanakan apa yang telah disepakati.
“Maka pihak peneroka juga ada hak untuk dakwa ataupun heret pihak FELDA ke mahkamah. Jadi bila ada terma yang seperti ini, nampaklah bahawa ianya ‘win-win situation’,” ujarnya yang juga Mudir Maahad Tahfiz al-Abrar, Bentong, Pahang.
Suara generasi peneroka
Maklum Ustaz Roslan, semasa Sesi Libat Urus tersebut, antara perkara yang diperbincangkan juga ialah untuk mengekalkan status perladangan di tanah-tanah peneroka FELDA di mana pihak beliau turut sepakat dengan hasrat tersebut.
Jelasnya, GENERASI bersetuju tanah-tanah FELDA tidak ditukar status daripada perladangan kepada status lain seperti perindustrian ataupun pembangunan kerana mahu kekalkan kelangsungan keterjaminan makanan dan kehidupan rakyat.
GENERASI katanya, turut mencadangkan supaya FELDA mengizinkan peneroka yang mampu atau boleh untuk memajukan sektor perladangan dan penternakan, di mana selain kelapa sawit, boleh juga menanam pokok getah, durian atau buluh.
“Secara ideanya supaya peneroka juga mendapat manfaat bukan saja sawit dan getah yang mereka tanam tetapi mereka juga mendapat pendapatan-pendapatan yang bersifat menjana ekonomi para peneroka dan generasinya,” ujarnya.
Maklumnya, kawasan tanah FELDA juga sesuai bagi pengembangan ternakan seperti arnab, ayam kampung dan itik sama ada untuk daging atau telur di mana dapat memenuhi permintaan pasaran yang semakin menggalakkan.
Mewakili generasi baharu, pihaknya turut berharap agar pindaan GSA membenarkan untuk pengembangan ekonomi demi manfaat warga dan keluarga peneroka ke arah membebaskan golongan itu dari perniagaan bersifat monopoli.
Sebaliknya jelas Roslan, perlu beralih kepada persaingan kompetitif untuk kawasan perladangan dimiliki itu diuruskan bersama para pemain sektor tersebut yang mempunyai kompetensi dan kredibiliti serta bertaraf antarabangsa.
Beliau tanpa berselindung merujuk kepada Guthrie dan Sime Darby yang telah terbukti sebagai konglomerat ulung di negara ini dalam sektor perladangan, bererti peneroka boleh memilih mana-mana pihak pemberi tawaran lebih baik.
GENERASI katanya, melihat situasi lebih sihat akan berlaku jika perkara sedemikian dapat diadakan selain menjamin kepentingan peneroka dari sudut kerjaya dan kehidupan melalui janaan pendapatan lebih baik.
“Hari ni kita peneroka macam tidak ada pilihan. Celik-celik mata saja ‘FELDA’, buatlah macam mana pun ‘FELDA’. Tidak boleh keluar dari ‘FELDA’, segalanya ‘FELDA’. Pengurusan FELDA pula seolah-olah macam sudah berada di ‘comfort zone’,” kritiknya.
Tambah beliau lagi, GENERASI juga berpandangan antara kritikal perlu dipinda adalah melibatkan masalah sangat popular dibangkitkan para peserta Sesi Libat Urus tersebut iaitu isu pewarisan setelah peneroka asal meninggal dunia.
Maklum Roslan, pada ketika ini tanah peneroka akan dimasukkan dua nama sebagai pentadbir selaku pemegang amanah sahaja bukan pemilik di mana isu di sini adalah pembahagian hasil yang tidak telus oleh pentadbir.
“Maka GENERASI mencadangkan supaya menaik taraf daripada pentadbir kepada peneroka baru dengan memenuhi syarat dan terma,” ujarnya mengemukakan penyelesaian untuk isu tersebut.
Turut dinyatakannya adalah keperluan mewujudkan kawalan secara penguatkuasaan undang-undang untuk semua kepentingan dan inisiatif FELDA, warga peneroka atau pemegang taruh dan pihak berkepentingan terjaga.
Selain beliau turut menyatakan gesaan GENERASI supaya mana-mana tapak rumah untuk generasi kedua dibenarkan dibina, selain mewujudkan lebih banyak inisiatif dan intensif bagi mewujudkan generasi peneroka baharu. – HARAKAHDAILY 6/9/2024












