PKNK serah zakat hampir RM3 juta untuk 2023

- Advertisement -

ALOR SETAR: Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) iaitu syarikat milik kerajaan negeri (GLC) Kedah telah menyumbang zakat terbanyak ketika ini iaitu hampir RM3 juta bagi tahun 2023.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, peningkatan bayaran zakat pada setiap tahun berkait rapat dengan peningkatan prestasi operasi dan hasil pendapatan anak-anak syarikat GLC berkenaan.

“Zakat juga memain peranan penting dalam ekonomi Islam, malah pembayar zakat merupa golongan patuh mengamalkan kehendak Islam. Sekarang ini kesedaran untuk membayar zakat semakin meluas di kalangan umat Islam.

“Termasuklah di sektor swasta, perniagaan dan korporat. Kita boleh melihat sama ada menerusi media atau lain-lain banyak institusi kewangan.

“Syarikat di sektor swasta serta badan-badan korporat (kini) membayar zakat perniagaan terlebih dahulu sebelum mengumumkan pendapatan tahunan mereka,” jelas beliau.

Menurutnya lagi, bermula 2019, PKNK melalui 12 anak syarikatnya telah menyumbang zakat perniagaannya sebanyak RM1.5 juta, diikuti RM2.1 juta pada 2022 dan hampir RM3 juta untuk tahun 2023.

Kata ADUN Jeneri itu lagi, PKNK juga menetapkan polisi agihan wakalah zakatnya kepada kategori tertentu secara bersasar seperti golongan asnaf melalui kerjasama Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) dan Penyelaras DUN seluruh Kedah dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM600,000.

Hal itu disentuh beliau dalam ucapan perasmian pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan 2023, PKNK kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di Dewan Ukir Mall Alor Setar, di sini semalam.

Mengulas lanjut katanya, sebagai amil zakat, bermula 2020 hinggalah 2024, PKNK telah berjaya menggalakkan semua anak syarikat dan kakitangan untuk membayar zakat melalui perbadanan tersebut.

“PKNK juga turut mengadakan kempen kepada semua peniaga yang menyewa premis miliknya agar membayar zakat kepada pihaknya, contohnya di Ukir Mall dan lain-lain.

“Penyewa premis PKNK juga diberi pelbagai kemudahan dan sokongan bagi menjalankan perniagaan dengan harapan zakat hasil pendapatan para peniaga berkenaan dipulang kepada PKNK untuk diurus dan diagihkan,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Sanusi turut mengesyorkan PKNK meningkatkan sumbangan kebajikan yang lain seperti kepada Tabung Tunku Mahmud untuk pendidikan.

Selain bidang latihan kemahiran melalui Program Skills Sejahtera yang telah dimulakan pada tahun ini dan sumbangan kepada masyarakat khusus nya pesakit terlantar.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Norizan Khazali dan Ketua Pegawai Eksekutif PKNK, Dato’ Wira Isahak Murat serta Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Dato’ Zakaria Othman dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah.

Pada majlis serahan itu LZNK menerima hampir RM3 juta bayaran zakat untuk tahun 2023 melalui 12 anak-anak syarikat PKNK.

Sementara itu seusai majlis penyerahan wakalah zakat, Sanusi turut melawat gerai-gerai jualan sekitar bangunan Ukir Mall. – HARAKAHDAILY 6/9/2024

- Advertisement -