
KUALA LUMPUR: Penubuhan SG4 dilihat sebagai suatu tindakan bijaksana dan proaktif terhadap perkembangan ekonomi negara.
Ketua Penerangan PAS Negeri Johor, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni berkata, tindakan yang dilakukan oleh pimpinan kerajaan empat buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis itu telah menunjukkan kemajuan di negeri-negeri tersebut yang diketahui agak tertinggal dari aspek pembangunan.
Katanya, hal ini disebabkan di zaman pentadbiran kerajaan Madani yang tidak memberikan peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang.
Tambah beliau, Sidang Kemuncak SG4 telah bersepakat mewujudkan Kluster Infrastruktur dan Logistik, Kluster Perdagangan, Pelaburan dan Industri, Kluster Pertanian dan Sekuriti Makanan, Kluster Pendidikan dan Modal Insan serta Kluster Sumber dan Pendapatan Baharu.
“Lima kluster ini akan menjadi asas kepada usaha pemantapan ekonomi, pembangunan dan infrastruktur di empat negeri yang dikuasai pembangkang.
“Walaupun penubuhan SG4 ini disalah erti kononnya akan membawa perpecahan, namun pada hakikatnya ia tidaklah sedemikian.
“Bahkan adalah satu landasan yang tepat dan perlu dilaksanakan memandangkan perkembangan semasa yang menuntut pendekatan sedemikian,” katanya menerusi risalah penerangan di Facebook.
Justeru Abu Irfan turut berkata dalam hal ini, suatu usaha yang baik tidak perlu dinafikan semata-mata kerana kebencian dan pertembungan politik.
“Pertahankan dan tunaikanlah hak dan tanggungjawab terhadap rakyat kerana ianya boleh membawa kesejahteraan hidup rakyat dan kemakmuran negara,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/9/2024











