Perayaan Kuih Bulan: LPN PAS kunjungi Ibu Pejabat MCA

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) PAS Pusat berkesempatan berkunjung ke ibu pejabat MCA bagi bersama-sama meraikan Perayaan Kuih Bulan pada hari ini.

Pengerusinya, Dr Halimah Ali berkata, kunjungan itu telah diraikan oleh Ketua Wanita MCA, Datuk Wong You Fong dan barisan kepimpinan Jawatankuasa Pusat Wanita MCA.

Beliau yang juga Ketua Portfolio Perpaduan Negara Perikatan Nasional berkata, perayaan itu adalah simbol perpaduan dan keharmonian antara masyarakat pelbagai kaum di Malaysia, di mana tradisi dan budaya yang kaya dapat dikongsi bersama.

- Advertisement -

“Sebagai Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), saya sangat menghargai peluang ini untuk mengeratkan hubungan antara kita, khususnya dengan rakan-rakan dari MCA dan komuniti Tionghua,” ujar beliau dalam media sosial miliknya hari ini.

Perayaan Kuih Bulan itu menurutnya, bukan sahaja meraikan tradisi, tetapi juga menjadi platform penting untuk rakyat terus memperkukuhkan hubungan antara kaum serta menggalakkan kerjasama yang erat demi kesejahteraan negara.

“Semanis kuih bulan, ia lagi manis bila kami membawa kuih bulan yang dibuat khas oleh Muslimat PAS Kapar yang dikenali sebagai Kak Pujiah.

“Kuih bulan khas ini berlambangkan Naga dan Phoenix yang membawa maksud ‘harmony, balance, and auspiciousness’.

“Lebih bermakna bila teh cina ‘Pu Er’ telah disediakan oleh pihak Wanita MCA untuk menjamu bersama kuih bulan yang disediakan,” jelasnya.

Dr Halimah berkata, Wanita MCA telah menghadiahkan kaligrafi yang ditulis sendiri oleh Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MCA, Chan Quin Er merangkap Pengerusi Biro Penerangan MCA kepada rombongan LPN PAS Pusat.

“Kaligarafi ‘福’ yang bermaksud makmur dan sejahtera.  Hadiah kaligarafi ini sangat bermakna bagi kami yang sememangnya sukakan seni tulisan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Dr Halimah berkata, Perayaan Pertengahan Musim Luruh (Mid-Autumn Festival) atau dikenali sebagai perayaan kuih bulan adalah jatuh pada hari ke-15 bulan ke lapan pada kalendar Lunar, atau 17 September pada tahun ini. 

Perayaan Kuih Bulan katanya, bukan sahaja untuk menikmati kuih bulan yang manis, tetapi juga satu cara untuk menghubungkan orang ramai, mengeratkan hubungan kekeluargaan serta melambangkan perpaduan dan kesejahteraan dalam komuniti.

“Akhir sekali, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Perayaan Kuih Bulan kepada semua yang meraikannya. Semoga kita terus bersama membina Malaysia yang lebih harmoni, adil, dan makmur,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 6/9/2024

- Advertisement -