Melayu, Islam kunci keharmonian masyarakat Malaysia

Zurk Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kuasa politik Melayu-Islam yang menjadi asas kepada kemerdekaan Tanah Melayu akan tergugat sekiranya bangsa Melayu tidak bersungguh-sungguh mempertahankannya.

Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor, Zurk Ahmad, menyatakan bahawa kedaulatan negara yang terdiri daripada pelbagai kaum turut terancam oleh pengaruh luar yang tidak mewakili mana-mana bangsa dalam negara ini.

“Kembalilah kepada kemuliaan agama yang sebenar dan berpegang kepada kekuatan bangsa Melayu yang menjaga keharmonian masyarakat majmuk selama ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

- Advertisement -

Beliau berkata, salah satu nikmat terbesar yang Allah kurniakan kepada Tanah Melayu adalah kedatangan Islam ke nusantara.

Menurutnya, Raja-raja daripada pelbagai suku mengambil ilmu agama daripada ulama yang datang lalu menubuhkan kerajaan Islam.

Zurk menegaskan bahawa dengan asas akidah yang kuat, bangsa Melayu bukan sahaja berjuang mengusir penjajah, tetapi juga membebaskan minda daripada pengaruh pemikiran penjajah.

“Pelopor semangat perjuangan ini adalah daripada golongan ulamak yang menanamkan rasa cinta bangsa Melayu kepada tanah air dan meniup semangat jihad demi mempertahankan kedaulatan agama dan bangsa.   

“Kaum Melayu menjadi anggota majoriti pahlawan negara namun tidak menafikan kehadiran kaum lain yang bersama-sama memperjuangkan kemerdekaan negara,” ujarnya.

Katanya lagi, dalam perjuangan kemerdekaan, bangsa Melayu menjadi pahlawan sebenar, sementara entiti luar seperti komunis tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan yang sebenar.

Beliau juga menjelaskan bahawa Islam bukanlah agama eksklusif bagi orang Melayu di Malaysia, tetapi kaum Melayu sememangnya dikenali sebagai bangsa yang menganut agama Islam.

Katanya lagi, ia selaras dengan sejarah kebangkitan Islam yang dipelopori oleh pelbagai bangsa sejak zaman Nabi Muhammad SAW.

“Raja-raja Melayu masih menjadi ketua bagi agama Islam. Islam adalah agama bagi kerajaan Tanah Melayu sebelum merdeka dan dimaktubkan sebagai agama bagi Persekutuan setelah merdeka.

“Hubungan yang erat antara kaum Melayu dan agama Islam ini bagai kembar sejak dahulu. Islam adalah sebahagian jati diri bangsa Melayu. Orang Melayu yang keluar Islam diibaratkan seperti bukan Melayu lagi,” terangnya lagi.

Selain itu, Zurk menekankan bahawa kerana pegangan nilai-nilai Islam yang mendalam, orang Melayu menjadi bangsa yang bertoleransi dan mampu menerima kehadiran kaum lain yang dibawa masuk oleh penjajah.

Prinsip penerimaan masyarakat majmuk itu, menurutnya, adalah salah satu nilai terpuji yang diajar dalam Islam.

“Maka tidak layak sesekali dalam apa jua keadaan, bangsa yang telah berkorban tanah dan segala hak mereka untuk dikongsi ini dilemahkan dan dihina kedudukan mereka di bumi asal mereka.

“Bahasa Melayu mesti tetap dipelihara sesuai tarafnya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa kemerdekaan.

“Suatu masa dahulu bahasa ini dijadikan bahasa pengantar ilmu di nusantara di samping menjadi bahasa kedua kepada agama selain bahasa Arab,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa bangsa Melayu tidak akan dihormati oleh dunia luar jika mereka sendiri tidak menghargai dan berbangga dengan sejarah mereka yang bernilai tinggi.

Tambahnya, sedikit demi sedikit, identiti sebagai orang Melayu beragama Islam terhakis oleh ideologi berbahaya seperti sekularisme, liberalisme, pluralisme dan sebagainya.

“Moga-moga nama Melayu terus harum di persada dunia setaraf nama negaranya Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/9/2024

- Advertisement -