
KUALA LUMPUR: Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) kali ke-65 bakal berlangsung di negeri Pahang bertempat di Kompleks Al Makmur, Kerdau bermula 11 hingga 12 September ini.
DPPM dalam kenyataannya berkata, pemilihan logo muktamar tahun ini adalah lain dari yang lain.
“Ianya bukan hanya sekadar hiasan, tetapi ada makna yang mendalam. Setiap elemen yang direka, ada cerita tersendiri melambangkan semangat perjuangan dan simbolik warisan Pahang,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Menurut kenyataan itu, elemen 65 melambangkan Muktamar DPPM yang akan diadakan kali ke-65, elemen itu turut diraikan dalam bahasa Arab sebagai simbolik terhadap Islam.
Justeru, DPPM berkata dalam elemen simbolik pula memilih gambar haiwan gajah dan api.
“Gajah dikaitkan dengan haiwan simbol negeri Pahang. Selain itu, gajah juga merupakan lambang kegagahan dan kepahlawanan.
“Manakala logo api pula melambangkan pemuda PAS teras api, tetap wala’ walaupun dinamik,” ujarnya.
DPPM menyatakan pemilihan warna corak bendera Palestin pula melambangkan elemen solidarity sementara adunan warna putih, hitam, merah dan hijau telah menggambarkan warna bendera Palestin dan negeri Pahang.
“Manakala corak ‘kefiyyeh’ pula merupakan simbolik terhadap hamasah perjuangan.
“Jom sama-sama kita hayati makna di sebalik logo ini dan jadikan inspirasi dalam muktamar kita tahun ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/9/2024











