Amal dengan ilmu, baru ada nilai

- Advertisement -

TUJUAN nabi dan rasul diutuskan adalah untuk membaca ayat-ayat Allah. Mereka menyampaikan wahyu kepada manusia. Ada perbezaan antara nabi dengan rasul.

Nabi menerima wahyu tetapi tidak menyampaikannya kepada manusia. Tetapi, rasul menerima wahyu dan dia diperintahkan untuk berdakwah atau menyampaikannya kepada manusia.

- Advertisement -

Ada nabi yang bukan rasul. Tetapi kalau rasul, dia ialah nabi. Contohnya, Nabi Muhammad SAW ialah nabi lagi rasul. Dalam kalangan Bani Israel terutamanya, ada yang nabi sahaja.

Nabi-nabinya tidak menyebarkan agama baru dan hanya membimbing Bani Israel. Antara tempoh Nabi Musa dan Nabi Isa alaihissalam, ramai nabi-nabi dalam kalangan Bani Israel yang tidak biasa kita dengari.

Kata Imam Syafie, hikmah atau kebijaksanaan di dalam ayat 129 surah al-Baqarah, merujuk kepada hadis Nabi Muhammad SAW. Segala perkataan, perbuatan atau tindak-tanduknya dipanggil sebagai sunnah. Diam Nabi juga merupakan sunnah.

Sebagai contoh dalam peristiwa ketika Nabi dengan sahabatnya bertandang melawat sebuah rumah. Lalu dihidangkan dab kepada mereka. Dab ini sejenis binatang padang pasir, seakan-akan biawak kecil.

Sahabat makan tetapi Nabi tidak menjamahnya. Nabi tidak melarang sahabatnya daripada makan. Ia dinamakan sebagai sunnah taqririah iaitu Nabi memberikan perakuan tanpa perlu berkata apa-apa.

Sahabat bertanya sebab Nabi tidak makan. Nabi menjawab sebab dab tiada di tempatnya dan Baginda tidak biasa memakannya (Rujuk Riwayat Imam Bukhari: 5400 dan Imam Muslim: 1946). Contohnya, sesetengah orang tidak makan daging arnab walaupun ada yang kata sedap sebab tidak biasa dengannya.

Contoh lain sunnah taqririah ialah solat sunat sebelum Maghrib. Kalau tengok dalam hadis, Nabi tidak pernah menunaikan solat sunat sebelum Maghrib. Nabi hanya menunaikan solat Tahiyyatul Masjid.

Cuma sahabat Nabi ada yang menunaikan solat sunat sebelum Maghrib seperti kata Anas bin Malik. Namun Nabi tidak melarang mereka (Rujuk Riwayat Imam Muslim: 836).

Ia tetap dikira sebagai sunnah kerana sahabat yang melakukannya, walaupun bukan Nabi sendiri. Bukan tidak boleh buat, buatlah sebab sahabat buat. Nak kata, apabila kita melakukan ajaran agama, biarlah kita tahu cerita.

Jangan asal orang buat atau tidak, kita pun turut. Jangan orang solat sunat selepas Asar, kita pun buat juga. Tidak boleh begitu. Jadi, kita perlu tahu dan buat dengan ilmu, barulah ada nilai. – HARAKAHDAILY 6/9/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -