
KUALA TERENGGANU: Maahad Darul Quran (MDQ) Rusila merancang untuk membina Kompleks Akademik MDQ yang dianggarkan menelan kos sebanyak RM18,000,000.
Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah MDQ Rusila, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pembinaan kompleks itu merupakan usaha bagi menambah baik suasana pembelajaran agar lebih kondusif dan selesa.
Ini, ujarnya kerana bangunan kelas dan pejabat pentadbiran sekolah itu berada dalam sebuah bangunan empat tingkat yang bersambung dengan Masjid Kampung Rusila.
Sehubungan itu, ujarnya, Majlis Pecah Tanah bagi pembinaan kompleks itu telah disempurnakan oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, hari ini.
Katanya, MDQ Rusila turut melancarkan kutipan dana sempena majlis pecah tanah itu bagi mengumpulkan dana sebanyak mungkin untuk mencukupkan kos pembinaan awal kompleks tersebut.
Menurutnya, mungkin ramai yang belum tahu bahawa MDQ Rusila sebenarnya diasaskan oleh sekumpulan ulama muda lepasan Timur Tengah yang berasal dari Terengganu pada tahun 1985 bagi meneruskan kesinambungan dakwah dan perluasan ilmu.
Beliau berkata, antaranya ialah Tuan Guru Abdul Hadi, Ustaz Husain Awang, Almarhum Ustaz Abu Bakar Chik, Almarhum Ustaz Harun Taib dan Almarhum Ustaz Awang Nasaruddin Abu Bakar.
“Insya-Allah, saya mohon buat semua rakan-rakan untuk turut menyumbang kepada pembinaan ini,” ujarnya lagi.
Tambahnya, sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Bank Muamalat bernombor 13010004244716 atas nama Unit Pembangunan Ma’Had Darul Quran. – HARAKAHDAILY 6/9/2024











