
TEMERLOH: Maahad Tahfiz al Istiqamah (MTIS) Temerloh, muncul juara keseluruhan Majlis Sukan dan Ilmiah (Mahrajan) 3.0 2024 yang berlangsung di Kompleks Tahfiz Al Qardhawi (KOMTAQ) Kerdau, semalam.
Naib juara pula telah dimenangi pasukan tuan rumah, KOMTAQ, diikuti Maahad Tahfiz Darul Fikri (MTDF), Kuantan di tempat ketiga.
Mahrajan 3.0 dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar.
Program tahunan anjuran Majlis Ta’awun Institusi Tahfiz Pahang (MANTAP) dengan kerjasama Pertubuhan Madrasah Pondok Malaysia-Pahang (PMPS) tersebut telah disertai 18 buah institusi tahfiz dan pondok dari seluruh negeri ini.

Sebanyak lapan kategori dipertandingkan bagi acara ilmiah digandingkan dengan dua buah acara sukan iaitu bola sepak dan bola jaring yang mana bagi acara bola sepak telah dimenangi pasukan KOMTAQ, tempat kedua Tahfiz FURQAN, Pekan dan MTDF di tempat ketiga.
Bagi acara bola jaring pula, wakil Pahang Barat, Maahad Tahfiz Al Abrar, Bentong merangkul juara, disusuli KOMTAQ di tempat kedua dan tempat ketiga disandang Maahad Tahfiiz Al Banna, Jengka.
Buat julung kalinya, pihak penganjur mewujudkan satu kategori baru dalam sejarah musabaqah hafazan Pahang iaitu pertandingan hafazan Al Quran juzuk 30 dengan bacaan Qiraat riwayat Warsh an Nafi’.

Juara kategori lelaki bagi kategori ini telah dimenangi Muhammad Hafizuddin Jamaluddin dari Maahad Dirasat Dinniyah (MADAD), Jerantut dengan jumlah markah sebanyak 95 peratus, sementara Nur Irdina Maisarah Zulkifli dari MTIS menggungguli tempat pertama kategori perempuan dengan jumlah markah sebanyak 92 peratus. – HARAKAHDAILY 6/9/2024











