Kenya sekali lagi dilanda gangguan bekalan elektrik

Gangguan bekalan elektrik itu merupakan yang kedua dalam tempoh seminggu. (FOTO: Al Arabiya)
- Advertisement -

NAIROBI: Syarikat Tenaga dan Pencahayaan Kenya (KPLC) memaklumkan terdapat gangguan bekalan elektrik yang telah melanda kebanyakan wilayah negara itu pada Jumaat, sekali gus menjadikan gangguan bekalan elektrik kedua dalam tempoh seminggu.

- Advertisement -

KPLC dalam satu kenyataan yang dikeluarkan tidak memberikan sebarang butiran mengenai punca kejadian berkenaan, namun gangguan itu dipercayai telah menjejaskan keseluruhan negara itu kecuali di bahagian North Rift dan wilayah Barat, lapor Al Arabiya.

“Kami mengalami gangguan bekalan elektrik yang menjejaskan beberapa bahagian negara, kecuali bahagian North Rift dan wilayah Barat.

“Kami memohon maaf atas kesulitan dan mohon kesabaran anda kerana jurutera kami bekerja dengan pantas untuk memulihkan perkhidmatan.

“Kami akan memaklumkan perkembangan terkini kepada anda dan berkongsi maklumat lanjut tentang usaha pemulihan secepat mungkin.” katanya menerusi kenyataan itu.

Insiden terbaru itu berlaku beberapa jam selepas Setiausaha Kabinet Tenaga dan Petroleum, James Wandayi menyatakan komitmen kementeriannya untuk mengurangkan bekalan elektrik yang kerap terputus.

“Apa yang saya ingin katakan di sini ialah kami telah menyediakan langkah dan sistem yang akan mengurangkan pemadaman, tetapi jika ia berlaku akan ada sistem untuk memulihkan kuasa dengan pantas.

“Kami juga akan terus melabur dalam infrastruktur di peringkat penjanaan dan di peringkat penghantaran elektrik,” katanya.

Terdahulu, gangguan bekalan elektrik telah melanda Kenya pada Jumaat, 30 Ogos, dan menyebabkan kawasan seperti Nairobi, Voi, Murang’a, Embu, Lang’ata, Ongata Rongai, Kitale, Kericho, dan Malindi dalam kegelapan.

Insiden terbaru itu kemudiannya telah menimbulkan kekecohan di kalangan rakyat Kenya yang menyalahkan James Wandayi kerana gagal merealisasikan janjinya. – HARAKAHDAILY 6/9/2024

- Advertisement -