
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengesahkan seramai 71,290 calon lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf telah ditawar melanjutkan pengajian di Universiti Awam.
Pengajian setaraf tersebut terdiri daripada lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), matrikulasi, asasi dan diploma yang meruapakan 77.47 peratus daripada keseluruhan permohonan yang diterima kali ini.
“Pada tahun ini, KPT telah menerima 105,424 permohonan yang layak bagi lepasan STPM atau Setaraf untuk melanjutkan pengajian menerusi UPUOnline.
“Seramai 71,290 calon (77.47%) telah ditawarkan tempat bagi melanjutkan pengajian,” katanya dalam satu kenyataan rasmi di sini, hari ini.
Menurut KPT, sesi kali ini menawarkan sebanyak 1,114 program pengajian Sarjana Muda secara keseluruhannya.
“Kemasukan pelajar ke institusi-institusi tersebut dibuat berasaskan prinsip meritokrasi dengan menyusun semua calon yang layak mengikut markah merit tertinggi hingga terendah,” katanya.
Dalam pada itu, bagi saluran rayuan juga akan dibuka oleh pihak KPT untuk calon lepasan STPM dan setaraf yang tidak mendapat tawaran untuk ke Universiti Awam.
“Kepada calon yang tidak mendapat tawaran pengajian, Kementerian kini telah membuka saluran peluang kedua melalui proses rayuran di UPUOnline dalam tempoh 10 hari, bermula daripada 6 September 2024, jam 12.00 tengah hari sehingga 15 September 2024, jam 5.00 petang,” maklumnya pada kenyataan tersebut.
Oleh itu, pihak KPT turut menasihati kepada para calon yang berjaya mendapat tempat agar menggunakan peluang ini sebaiknya. – HARAKAHDAILY 6/9/2024











