
KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menerima Anugerah Kecemerlangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Centre of Excellence) COE KKP disampaikan Kementerian Sumber Manusia.
Anugerah yang diterima Pusat Pengurusan Persekitaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (CMeOSH) berkaitan bidang Kesihatan Pekerjaan Bagi Higien Industri dan Ergonomik.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK Prof Ts Dr Arham Abdullah berkata, pengiktirafan itu menggambarkan CMeOSH UMK sebagai salah satu institusi pengajian tinggi yang berpotensi menjalankan aktiviti pengembangan ilmu, teknologi dan kepakaran serta kemahiran COE KKP pada masa akan datang.
Katanya kejayaan dan pencapaian CMeOSH UMK antaranya 1st Best Practice Program Systematic Occupational Health Enhancement Level Programme (SOHELP) peringkat negeri Kelantan 2018.
Selain itu menerima Anugerah Cemerlang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan 2018 (Kategori Institut Pendidikan Tinggi.
“Lebih membanggakan CMeOSH UMK mengecapi kejayaan dalam penarafan pensijilan Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (ISO 45001:2018) pada 2019.
“Beberapa siri kejayaan dan pencapaian itu meletakkan CMeOSH UMK sebagai sebuah universiti dan institusi pengajian tinggi di landasan yang tepat dalam aspek penjagaan kesihatan dan keselamatan pekerjaan,” katanya pada pada program berkenaan di Bangi semalam.
Anugerah disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud kepada Naib Canselor UMK Dato’ Prof Razli Che Razak.
Program tersebut diadakan sempena Konvensyen Pendidikan dan Penyelidikan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) 2024.
Turut memperoleh pengiktirafan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Universiti Teknologi PETRONAS (UTP). – HARAKAHDAILY 5/9/2024











