Tutup operasi pasar malam tunai solat Maghrib

Rakyat Perlis diseru sahut jayakan 'Berhenti Dulu Kita Solat'

- Advertisement -

PADANG BESAR: Rakyat negeri Perlis diseru untuk menyahut arahan penutupan sementara operasi pasar malam oleh kerajaan negeri bagi memberi ruang kepada umat Islam untuk menunaikan solat ketika waktu Maghrib.

- Advertisement -

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis, Haziq Asyraf Dun menyifatkan inisiatif itu sebagai satu langkah positif yang diambil oleh Kerajaan Negeri Perlis dalam mendidik umat Islam di negeri ini.

“Ini adalah usaha yang baik daripada Kerajaan Negeri untuk mendidik rakyat, terutamanya mereka yang beragama Islam, untuk memberi keutamaan kepada solat dalam kehidupan seharian.

“Sebagai tiang agama, solat memainkan peranan penting dan tanggungjawab kerajaan adalah untuk menyediakan ruang masa dan tempat yang sesuai agar rakyat dapat menunaikan ibadah mereka,” katanya.

Beliau turut berharap agar rakyat Perlis menyokong kempen tersebut dengan tujuan untuk memperkasakan amalan solat dalam kalangan masyarakat.

“Saya mengharapkan kepada rakyat untuk menyahut kempen ini agar kita semua dapat mendirikan solat dengan sebaik-baiknya. Mudah-mudahan, ia akan membawa keberkatan kepada negeri kita, insyaAllah,” tambahnya.

Menurut beliau, penutupan sementara operasi pasar malam ini akan dilakukan 10 minit sebelum waktu solat Maghrib dan dibuka semula 10 minit selepas solat Maghrib.

Haziq Asyraf, yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri, turut menekankan aspek keterbukaan dalam inisiatif ini, terutama kepada golongan bukan-Islam.

“Bagi mereka yang bukan-Islam, urusan perniagaan mereka tidak tertakluk kepada peraturan ini.

“Namun, mereka digalakkan untuk menghormati umat Islam yang menunaikan solat, demi menjaga keharmonian dan saling menghormati antara agama,” jelasnya.

Langkah berani dan inovatif kerajaan negeri dalam menggalakkan umat Islam menunaikan solat melalui program ‘Berhenti Dulu Kita Solat’ itu turut mendapat pujian dari pelbagai pihak.

Ketua Dewan Ulamak PAS Perlis, Ustaz Idris Yaakob berkata, program itu memperkenalkan amalan pemberhentian sementara operasi perniagaan di pasar malam ketika waktu Maghrib.

Ujarnya, ia membolehkan para peniaga dan pengunjung mengambil masa untuk menunaikan solat.

“Solat berperanan penting dalam mencegah kemungkaran dan kejahatan, dan percaya bahawa usaha sebegini mampu memperkukuhkan kedudukan Islam dalam masyarakat.

“Jika seluruh umat Islam mengambil berat tentang tuntutan solat, insya-Allah Islam akan kembali berdaulat suatu hari nanti,” katanya.

Program akan berkuatkuasa bermula 15 September depan. – HARAKAHDAILY 5/9/2024

- Advertisement -