Siapa jual Tanah Rizab Melayu dalam skala besar?

- Advertisement -

HANG TUAH JAYA: Mana-mana Menteri Besar yang jumlah Tanah Rizab Melayu (TRM) berkurangan di negeri masing-masing sewaktu pentadbiran mereka harus dibawa ke muka pengadilan untuk dihukum.

- Advertisement -

Ahli Persatuan Arkeologi Malaysia, Zaharah Sulaiman berkata, TRM hari ini banyak telah dilupuskan oleh kerajaan negeri sendiri atas alasan pembangunan, namun hakikatnya ianya adalah penjualan skala besar.

“Jadi kita, pemimpin kita, menteri besar kita semua orang Melayu, ADUN-ADUN semua orang Melayu, exco-exco orang Melayu. Kita nak komplen pada siapa ni? Kita nak marahkan bangsa asing?

“Padahal kita (orang Melayu) semua dekat atas tu. Kita yang membuat semua keputusan. Jadi kita boleh sebenarnya caj (dakwa) balik menteri-menteri besar yang jual Tanah-tanah Rizab Melayu ni tanpa alasan,” katanya.

Tegasnya, perkara itu tidak boleh diselindung lagi dan harus ada tindakan segera mulai sekarang kerana jika tidak dihentikan ia akan semakin memburuk dari hari ke hari.

“Kalau kita lihat apa yang terjadi di Andalusia sama yang berlaku di Malaysia hari ini. Sebab perpecahan dan perbezaan pendapat di antara mereka. Mereka adalah satu bangsa daripada satu negeri berpecah kepada berpuluh wilayah.

“Akhirnya tinggal satu wilayah yang akhir pun terlepas. Jadi pemerintahan yang terakhir, Sultan yang terakhir keluar (dalam keadaan) menangis. Menangis, selepas dia dihalau keluar daripada Andalusia,” ujarnya.

Beliau menzahirkan kebimbangan bahawa berdasarkan situasi yang sedang berlaku pada waktu ini membayangkan seolah-olah peristiwa kejatuhan Andalusia akan berlaku di negara ini.

“Tidak mustahil. Memang tidak mustahil. Sebab saya bila tengok data-data ni saya rasa takut kerana kerajaan sendiri dan pemimpin Melayu sendiri tidak sedar.

“Sama ada mereka tidak sedar, tidak peduli ataupun mereka naif tentang pelupusan tanah-tanah rizab Melayu ataupun tanah-tanah rizab kerajaan yang kalau tanpa tanah itu kita tidak boleh memerintah. Jadi tentang ini mereka memang kurang kebijaksanaan,” ujarnya kesal.

Beliau berkata demikian sewaktu membentangkan kertas kerja beliau di dalam Seminar Penerangan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) Peringkat Negeri Melaka yang berlangsung di Dewan Mua’alim Tuan Guru Haji Abdul Wahid, Bukit Katil, di sini, malam kelmarin.

Seminar diadakan bagi memberi penerangan tentang akta tersebut yang bakal dibentangkan di Dewan Rakyat oleh pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dibimbangi akan mengancam golongan Melayu bandar.

Menurut Zaharah, isu TRM itu jika dibiarkan lebih lama lagi ditambah dengan pewujudan URA tersebut, beliau khuatir berbaharuan itu sama seperti apa yang berlaku di Singapura dan akan mempengaruhi geopolitik dan geostrategik.

“Jadi kita kena berhati-hati dan kita kena bangkit. Semua rakyat kena bangkit. Selagi kita tak bangkit dia ingat kita bangang. Jadi kita kena bangkit, kita kena buat bising.

“Kita ada fakta, kita ada data, bukan cakap kosong. Sesiapa yang perlukan terutama sekali pihak-pihak NGO, atau parti Umno, parti PAS dan sesiapa yang ingin membuat satu kertas kerja atau kertas putih, saya boleh bantu,” ujarnya.

Jelasnya, beliau telah lebih 15 tahun membuat penyelidikan mengenai TRM itu dan menyampaikan ceramah ke seluruh negara mengingatkan orang-orang Melayu terhadap isu besar itu agar mereka cakna dan mengambil berat tentang apa yang mereka hilang.

“Tetapi apa yang saya khuatiri mereka rasa mereka orang Melayu, mereka tidak perlu takut kononnya kerajaan akan ‘benteng’ mereka. Tetapi sebenarnya itu tidak berlaku dan kita kena kerja keras untuk mendapat balik hak kita,” katanya.

Program anjuran Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat itu dirasmikan pengerusinya, Datuk Ahmad Amzad Hashim yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

Turut berucap di dalam seminar tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail yang juga Ahli Parlimen Jasin.

Selain Zaharah, turut membentangkan kertas kerja ialah
Mantan Exco Perumahan Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad yang juga Bendahari PAS Pusat.

Sementara Sr Mohd Safiee Junun yang merupakan mantan Pegawai Teknikal Kanan di Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Selangor bertindak sebagai moderator.

Turut hadir ialah Pengerusi Perikatan Nasional Melaka yang juga ADUN Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub dan Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin.

Juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin dan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa.

Peserta seminar meliputi pimpinan-pimpinan PAS, BERSATU, beberapa NGO berkaitan di mana ahli-ahli Umno turut dijemput di dalam seminar itu. – HARAKAHDAILY 5/9/2024

- Advertisement -