Ziarah Rakyat sentuh hati pengundi

- Advertisement -

ROMPIN: “Tak sangka hari ini YB datang rumah,” kata penduduk Felda Keratong 7, Jamiah Abdul Wahab dalam Program Ziarah Rakyat DUN Bukit Ibam, baru-baru ini.

Beliau menyatakan demikian sewaktu dikunjungi ADUN Bukit Ibam, Ustaz Nazri Ahmad.

Rata-rata penduduk menyambut baik usaha itu dan mengalu-alukan kedatangan Ustaz Nazri.

- Advertisement -

Ziarah Rakyat dengan melibatkan hampir keseluruhan lokaliti dalam DUN itu ternyata menyentuh hati rakyat dan pengundi.

Program yang diadakan secara bulanan bertujuan menyantuni rakyat dalam DUN Bukit Ibam.

Selain menyelami masalah yang dihadapi rakyat, sumbangan barangan keperluan harian juga diberikan kepada golongan marhaen.

“Saya menyasarkan untuk pergi ke setiap rumah bagi menyantuni rakyat segenap peringkat seramai yang mungkin,” kata Ustaz Nazri.

Ini, ujarnya kerana dapat membantu beliau memahami dengan lebih dekat keluhan dan denyut nadi rakyat DUN Bukit Ibam umumnya dan Felda Keratong 7 khususnya.

Beliau menambah, rakyat bukan hanya disantuni ketika musim pilihan raya tetapi sebelum dan selepas itu, bahkan sepanjang masa.

“Ini juga merupakan salah satu usaha kita untuk mengekalkan kemenangan Perikatan Nasional di DUN Bukit Ibam pada pilihan raya umum akan datang,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 4/9/2024

- Advertisement -