Vaksin AstraZeneca tiada virus cimpanzi dikaitkan MPox

Dr Suhazeli Abdullah
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kenyataan yang mendakwa vaksin Covid-19 AstraZeneca (AZ) mengandungi virus daripada cimpanzi dan dikaitkan dengan MPox adalah tidak tepat.

Pakar perubatan keluarga, Dr. Suhazeli Abdullah berkata, dakwaan itu timbul selepas orang ramai menangkap layar isi kandungan kaedah pembuatan vaksin AZ tersebut yang menyebut tentang Chimpanzee Adenovirus punca kerana dikaitkan dengan monyet.

Katanya, itu merupakan masalah pihak tertentu yang tidak memahami kandungan kenyataan yang terdapat di dalam penerangan produk vaksin AZ.

- Advertisement -

“Mereka tidak memahami keseluruhan tulisan dalam bahasa Inggeris tersebut, lalu membuat andaian sendiri bahawa Adenovirus yang terdapat di dalam vaksin tersebutlah yang menjadi punca kepada Mpox.

Chimpanzee Adenovirus yang terdapat dalam vaksin AZ adalah nama virus yang sejarahnya diperolehi dari Chimpanzee. Tetapi ia tidak semestinya membiak di dalam Chimpanzee. Pembiakan virus tersebut boleh dilakukan di dalam makmal dengan menggunakan sel hidup lain (Live Cell lines).

Recombinant replication-deficient Chimpanzee Adenovirus ia adalah virus perantara yang telah diubahsuai genetik supaya tidak mampu membiak di dalam penerima vaksin. Ianya adalah nama khas yang diberikan, ibarat siput babi, ia bukan babi tetapi ia adalah sejenis siput,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut kata beliau, virus yang menyebabkan Mpox adalah jenis Orthopoxvirus yang mana amat jauh berbeza dengan Adenovirus dari sudut sifat dan bentuknya.

“Memang terdapat vaksin yang telah pun lama dibina berasaskan virus jenis Mpox ini. Ianya dalam satu keluarga yang sama dengan vaksin Smallpox yang pernah menjadi wabak dikurun lepas.

“Melalui teknologi yang semakin maju, vaksin Smallpox telah menjalani beberapa ujian keselamatan dan keberkesanan sehingga ia boleh juga digunakan untuk pencegahan Mpox.

“Vaksin Mpox belum diwajibkan di seluruh dunia, kerana pencegahan yang paling utama penyakit Mpox ini adalah abstinen atau menghindarkan diri dari individu yang berisiko tinggi dijangkiti oleh Mpox,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan sebaran yang tidak berwibawa dan kenyataan mengelirukan. – HARAKAHDAILY 4/9/2024

- Advertisement -