
KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyerahkan kutipan dana Aid4Palestine kepada Pengerusi Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, semalam.
Hasil kutipan sebanyak RM700,000 itu adalah daripada sumbangan orang ramai untuk membantu umat Islam Palestin.
Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim mengucapkan terima kasih kepada semua dermawan, penyumbang, sukarelawan T-Volt, serta seluruh NGO Terengganu yang telah bersama-sama memberikan sumbangan.
“Tidak dilupakan juga kepada Urusetia Belia, Sukan & NGO Terengganu Sejahtera yang bertungkus lumus dalam menjayakan Kutipan Dana Aid4 Palestine.
“Mudah-mudahan amanah dan sumbangan ini akan sampai kepada mereka yang memerlukan di sana,” ujarnya menerusi satu hantaran laman sosial beliau.
Aid4Palestine dilancarkan pada Mei 2021 melibatkan tiga NGO utama iaitu Yayasan Amal Malaysia, Muslim Care Malaysia dan Cakna Palestin.
Mereka diberi amanah untuk mengumpulkan segala bentuk sumbangan daripada badan bukan kerajaan (NGO) gabungan lain. – HARAKAHDAILY 4/9/2024











